Satu (1) motolori telah dikenalpasti melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal pembinaan di sekitar Parlimen Batu, Kuala Lumpur. Lebih kurang jam 11:15 pagi, hasil rondaan berkala pasukan penguatkuasa SWCorp Kuala Lumpur telah berjaya menahan pemandu lori dan menyita kenderaan tersebut untuk siasatan lanjut pada 15 November 2022 yang lalu.
Kes disiasat dibawah kesalahan Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007, (Akta 672) iaitu larangan terhadap pelonggokan, pengolahan, pelupusan, dsb, sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran.
Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000.00 dan tidak melebihi RM100,000.00 atau boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua – duanya.
Puan Ummi Kalthum Binti Shuib, Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan (PWP) memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak melupuskan sisa pepejal secara haram kerana tindakan tegas akan diambil terhadap pihak tersebut supaya isu pelonggokan sisa pepejal secara haram di Kuala Lumpur dapat dibenteras.
SUMBER: SWCorp Wilayah Persekutuan