LIHAT GERHANA BULAN PENUH DI MASJID CINA, 8 NOVEMBER INI

KRUBONG – Masjid Cina Negeri Melaka (Al-Muttaqin), menjadi lokasi cerapan fenomena gerhana bulan penuh pada 8 November ini.

Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, berdasarkan kiraan astronomi, fenomena itu dapat dilihat dalam tempoh kira-kira tiga jam antara 6.51 petang hingga 9.56 malam.

Beliau berkata, gerhana bulan penuh ini jarang-jarang berlaku dan orang ramai khususnya semua penduduk Malaysia berpeluang menyaksikan kejadian alam semesta ini.

“Pada hari tersebut, selain cerapan gerhana bulan, turut diadakan solat gerhana bulan penuh, perkongsian ilmu oleh ahli falak serta khutbah.

“Kita jangkaan kehadiran antara 800 hingga 1,000 akan datang untuk menyaksikan bukti kekuasaan dan kebesaran Allah S.W.T., selain majlis dijangka akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali,” katanya ketika ditemui pada mesyuarat penyelarasan di Masjid Cina, di sini.

Menurut Abdul Halim, sebagai penghayatan kepada masyarakat, pengisian program dan khutbah akan dikeluarkan kepada pengurusan masjid di seluruh Negeri Melaka.

“Kita mengajak seluruh masyarakat Islam sama ada datang ke Masjid Cina untuk melihat fenomena ini bersama dengan Jabatan Mufti atau pergi ke masjid berdekatan untuk diberikan pengisian daripada sudut kerohanian, bacaan khutbah dan solat gerhana.

“Malah di Masjid Cina juga nanti, akan diadakan Perhimpunan Komuniti Falak yang akan menghimpunkan seluruh kelab-kelab falak dari 18 buah sekolah menengah di negeri ini serta dari institut pengajian tinggi (IPT) yang mana mereka akan adakan pameran serta simulasi,” katanya.

Beliau berkata, pada fenomena itu nanti, bulan, matahari serta bumi akan berada dalam satu garisan yang mana bumi akan berada diantara bulan dan matahari yang mana bulan akan kelihatan kemerah-merahan kerana ada biasan.

“Fenomena ini jarang berlaku, sekiranya cuaca mengizinkan pada hari tersebut, Insya-Allah ia dapat dilihat dengan mata kasar,” katanya.

Sumber : Melaka Hari Ini

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …