SUDAH LAPAN KALI PARLIMEN REMBAU BUAT JUALAN MURAH

SEREMBAN – Program Jualan Murah Keluarga Malaysia anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Rembau di Pasar Segar Shahril, Taman Bandar Senawang di sini pada Sabtu mendapat sambutan menggalakkan.

Program yang sepatutnya bermula jam 9 pagi, terpaksa diawalkan kerana orang ramai sudah beratur sejak jam 7.30 pagi.Sebanyak 100 kampit beras 10 kilogram dan 100 papan telur yang disediakan habis terjual dalam tempoh dua jam.Turut ditawarkan ialah 2,000 ekor ayam segar dengan harga RM15 untuk dua ekor, minyak masak paket, tepung gandum dan gula.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, program itu merupakan kali kelapan diadakan di kawasan parlimen berkenaan iaitu 5 di DUN Kota dan 3 di DUN Paroi sejak 11 September lalu.

“Saya dapati ia mendapat sambutan luar biasa. Cuma mungkin ada penambahbaikan perlu dilakukan antaranya kita akan menyediakan lebih banyak stok barang popular seperti beras dan telur kerana ia cepat habis.

“Bagi saya ini satu program yang berjaya di bawah Konsep Keluarga Malaysia dan ia sedikit sebanyak dapat membantu pengguna dalam keadaan kenaikan harga barang global,” katanya kepada media ketika ditemui meninjau program berkenaan.

Sementara itu seorang pesara, Mohd Khairuddin Hanapah, 52, berkata, program terbabit sangat memberi manfaat kepada rakyat dan perlu diperbanyakkan.

“Bila saya terbaca mengenai program ini di Facebook, saya tidak lepaskan peluang untuk datang kerana harga ditawarkan sangat murah berbanding di pasaran.

“Sekampit beras 10 kilogram dijual dengan harga RM20 dan dua ekor ayam dijual RM15. Jika di luar, kita memang tak dapat harga macam ini,” katanya.

Nor Azian Mohd, 43, pula mencadangkan kerajaan supaya mengadakan program itu setiap bulan di lebih banyak kawasan di setiap Dewan Undangan Negeri(DUN).

Katanya, ia sangat membantu meringankan beban rakyat lebih-lebih lagi yang mempunyai ahli keluarga ramai.

Warga Bangladesh, Mohamad Arman, 35, turut tidak melepaskan peluang untuk ke program berkenaan selepas diberitahu majikannya.

“Saya beli ayam dan telur. Nampaknya malam ini saya boleh ‘kenduri’ dengan kawan-kawan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …