Gunung Jerai dijadikan lokasi bagi program yang dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah pada kali ini di mana seramai hampir 100 pegawai dari jabatan atau agensi keselamatan dikumpulkan bagi mendengar taklimat berkenaan Arahan Gerakan MKN Berkaitan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Pengarah Bahagian Perisikan dan Pengurusan Krisis Negara, MKN JPM, Encik Tajul Ariffin Muhammad di undang bagi menyampaikan taklimat tersebut kepada pegawai daripada jabatan atau agensi keselamatan antaranya, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Bagi sesi kedua, MKN Kedah menjalinkan kerjasama dengan sebuah pertubuhan yang bergerak aktif dalam memerangi isu rasuah dan korupsi di dalam negara iaitu Rasuah Busters. Satu sesi perkongsian telah dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Sinar Untuk Malaysia, Puan Nurhayati Nordin yang bertajuk βApabila Rasuah Menang, Negara Malangβ.
MKN Kedah menyambut baik saranan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah yang bertitah baru-baru ini bahawa rasuah di negara ini berada pada skala yang membimbangkan dan semua pihak di pelbagai peringkat perlu membanteras gejala ini secara bersungguh.
Perkara ini selaras dengan salah satu teras di dalam Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021-2025) iaitu Teras Keempat: Tadbir Urus Yang Baik, yang antara lain meliputi pengurusan sumber-sumber negara dengan cekap dan berkesan, dan juga pembentukan karakter berintegriti tinggi, amanah dan bertanggungjawab.
Program diakhiri dengan semua peserta taklimat menandatangani papan kanvas sebagai simbolik menyokong usaha menggemakan gelombang melawan rasuah di negara ini.