BEKERJA UNTUK AH LONG

Dua lelaki dipercayai ahli sindiket ‘Ah Long Siber’ yang melakukan khianat dengan menyimbat cat, merantai pagar dan menampal notis ugutan terhadap mangsa yang gagal membayar pinjaman ditahan dalam Ops Vulture di Taman Sri Tandop di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dua lelaki berusia lingkungan 38 dan 41 tahun itu ditahan oleh pasukan risikan polis yang melakukan pemerhatian di perkarangan taman perumahan terbabit dalam operasi dijalankan lebih kurang jam 3.30 petang hingga 6.30 petang.

“Pasukan risikan melihat sebuah kereta jenis Perodua Axia warna biru gelap dalam keadaan mencurigakan.

“Kedua-dua suspek merupakan peminjam kepada ‘Ah Long Siber’ yang gagal membuat bayaran sebelum ditawarkan melakukan beberapa kerja dengan bayaran upah mengikut pakej.

“Bagi perbuatan menyimbah cat, mereka dibayar RM350 manakala merantai pagar menerima bayaran RM150 dan menampal notis ugutan sebanyak RM50,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Alor Setar di sini pada malam Selasa.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati suspek telah melakukan kegiatan menyimbah cat, merantai pagar dan menampal notis ugutan di sekitar daerah Alor Setar, Kubang Pasu dan Pendang sejak bulan lepas.

“Dua lelaki itu mendakwa hanya berurusan dengan sindiket utama melalui aplikasi WhatsApp dan tidak pernah berjumpa manakala mereka perlu mengambil gambar dan video sebagai bukti kerja dibuat.

“Hasil pengakuan kedua suspek mendapati terdapat 20 laporan polis yang bersangkut,” katanya.

Menurutnya, sindiket ‘Ah Long Siber’ itu merupakan along yang menawarkan pinjaman melalui iklan di media sosial seperti Facebook dengan niat melakukan pemerasan dan ugutan.

Ahmad Shukri menjelaskan, pada awalnya, peminjam perlu mengisi maklumat pada pautan diberikan dan pinjaman akan diluluskan seberapa segera.

“Kira-kira 50 peratus wang yang hendak dipinjam akan dipindahkan ke akaun mangsa sama ada mangsa bersetuju ataupun tidak.

“Selepas itu, peminjam dipaksa membuat bayaran lebih empat kali ganda daripada jumlah pinjaman mengikut tempoh yang diberikan, dan jika peminjam gagal membuat bayaran, maka ‘Ah Long Siber’ akan mengupah orang untuk menampal notis ugutan, merantai pagar dan membaling cat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, polis merampas dua telefon bimbit, sebuah kereta jenis Perodua Axia, empat sampul surat berwarna coklat, satu surat bertulis kata-kata amaran dengan pen merah, pen permanent hitam, satu topi celoreng dan satu kasut jenis canvas berwarna merah dalam operasi itu.

“Turut dirampas, cat spray jenama San Cora berwarna merah, minyak petrol dengan penutup warna putih, rantai besi bersama manga dan anak kunci, pita pelekat warna hijau, cat jenama Seamaster warna merah, dua beg silang, baju berkolar, seluar jeans warna biru, motosikal jenis Honda Vario serta topi keledar berwarna merah jambu.

“kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 kerana menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen dan Seksyen 426 Kanun Keseksaan bagi melakukan khianat,” katanya.

Ujarnya, kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine turut disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Mereka direman selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis bagi membantu siasatan berkenaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

28,531 CALON UPKK 2023 RAIH KEPUTUSAN CEMERLANG 8A

PUTRAJAYA, 18 APRIL: Seramai 28,531 daripada 230,587 calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 berjaya mencatatkan keputusan cemerlang …
Maklumat Lanjut

TIPS PENGGUNAAN BARANGAN ELEKTRIK SEMASA DI RUMAH

Barangan elektrik tidak dapat dinafikan sangat banyak membantu memudahkan tugasan domestik seharian. Tugasan memasak, mengemas rumah dan mencuci pakaian tidak …
Maklumat Lanjut

LAPAN ANGGOTA FRU DIDAKWA SIMPAN BAHAGIAN BADAN PELANDUK

Lapan anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyimpan bahagian …
Maklumat Lanjut