TINTA BICARA HARI MALAYSIA: KENALI NEGERI SELANGOR

DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025

NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 3: KESEPADUAN NASIONAL (SEMANGAT KENEGARAAN)

Latar Belakang Negeri

The Golden State of Malaysia, itulah nama yang diberi kepada Selangor yang merupakan antara negeri paling maju dan progresif di Malaysia. Sebagai penjana ekonomi terbesar Malaysia, Selangor terletak di bahagian tengah pantai barat Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Perak di sebelah utara, Pahang di sebelah timur dan Negeri Sembilan di sebelah selatan. Pemerintahan Selangor diterajui oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya. Negeri ini mempunyai keluasan 7,951 km persegi, terdiri dari sembilan daerah yang terdiri dari Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Gombak, Klang, Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang. Ibu negeri Selangor ialah Shah Alam yang terletak dalam dua daerah iaitu Petaling dan Klang.

Menerusi teks sejarah, nama negeri Selangor pada peringkat awalnya merujuk kepada suatu kawasan petempatan kuala sungai yang dipenuhi dengan tumbuhan paya bakau, dikenali sebagai pokok mentangau. Pokok mentangau sering kali dijadikan panduan kepada pelayar dan mereka menggelar kawasan kuala sungai ini sebagai ‘kuala mentangau’. Menerusi peredaran masa sebutan ‘kuala mentangau’ berubah menjadi Kuala Selangor, tempat berakhirnya aliran Sungai Selangor.

Kisah yang lain menceritakan mengenai seorang pendekar yang sedang mengembara telah singgah di sebuah kawasan dan beliau diganggu oleh seekor langau yang terus-terusan hinggap di hidungnya. Kehadiran langau itu cukup menjengkelkan dirinya yang kemudian cuba untuk membunuh langau tersebut dengan memukulnya tetapi gagal. Terdetik di dalam hati pendekar itu, bagaimana seorang yang handal sepertinya tetap gagal menumpaskan seekor langau. Dia kemudian beranggapan bahawa tempat ini memiliki semangat yang lebih hebat dari dirinya lalu mengambil keputusan untuk menamatkan pengembaraannya. Mulai hari itu, setiap kali merujuk kepada tempat tersebut, pendekar itu akan menggelarinya sebagai ‘selangau’ dan akhirnya diterima pakai sebagai nama tempat tersebut.
Satu lagi pendapat mengatakan bahawa terdapat sebuah kawasan di sekitar pantai Kuala Selangor yang pada suatu ketika dijadikan tempat hukuman kepada mereka yang didapati bersalah oleh pemerintah. Para pesalah akan diikat pada palang kayu (juga dikenali sebagai salang) dan kemudian dijemur di bawah terik matahari. Mengikut adat Melayu ketika itu, hukuman ini dilakukan di kawasan yang disebut sebagai ‘di hujung pasir’, yang mana ia menepati ciri-ciri bentuk muka bumi di kawasan pantai Kuala Selangor yang mengunjur ke laut. Hukuman ‘salang dan di jemur’ kemudian diberikan kepada kawasan itu dengan sebutan Salang Ur yang memiliki sebutan yang hampir dengan nama Selangor.

Bendera Negeri

Bendera negeri Selangor terdiri dari empat bahagian berwarna kuning dan merah yang membawa maksud daging dan darah iaitu unsur-unsur yang perlu untuk memberi jiwa dan tenaga kepada negeri ini. Bulan bintang pula melambangkan agama Islam, iaitu agama rasmi negeri, manakala warna putih melambangkan kesucian agama Islam.

Jata Negeri

Jata negeri Selangor memperlihatkan tulisan khat ‘Selangor’ di bahagian atas direka dengan Lembing Sembuana di tengah-tengah membentuk puncak dan diapit oleh Keris Panjang Beruk Berayun di sebelah kiri dan Keris Terapang Gabus di sebelah kanan. Lembing dan kedua-dua keris ini merupakan di antara alat-alat kebesaran negeri Selangor. Bulan sabit dan bintang berbucu lima berwarna kuning melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi negeri. Tulisan khat ‘Dipelihara Allah’ yang terletak di bahagian bawah lakaran merupakan cogan kata negeri. Bengkung berwarna kuning di bawah cogan kata merupakan tali pengikat pinggang pahlawan-pahlawan zaman dahulu. Di bawahnya adalah Tali Batung berwarna merah yang merupakan salah satu senjata zaman dahulu. Reben kuning dengan tulisan “Selangor” merupakan dasar kepada reka bentuk keseluruhan lakaran Jata Negeri.

 Lirik Lagu Negeri

Duli Yang Maha Mulia

Selamat di atas takhta

Allah lanjutkan usia Tuanku

Rakyat mohon restu

Bawah Duli Tuanku

Bahagia selama-lamanya

Aman dan sentosa

Duli Yang Maha Mulia

Artikel/Berita Terkini

TEKAN PEMATUHAN GARIS PANDUAN DAN ASPEK KESELAMATAN PEMBINAAN MENARA TELEKOMUNIKASI

KUANTAN, 25 APRIL 2024 : Keselamatan menara dan struktur sistem pemancar telekomunikasi adalah penting di mana pembinaannya perlu mengikut spesifikasi …
Maklumat Lanjut

DUA AHLI ‘GENG BEAN’ AKTIF CURI MOTOSIKAL DI KL, JUAL DI SEREMBAN TUMPAS

Polis menumpaskan ‘Geng Bean’ yang aktif mencuri motosikal dengan penahanan dua lelaki dalam serbuan berasingan sekitar ibu kota dan Seremban, …
Maklumat Lanjut

PROGRAM BUDAYA TIGA SERUMPUN 2024 TERUS PERKUKUH TIGA NEGARA

Program Budaya Tiga Serumpun 2024 menjadi platform memartabatkan Bahasa Melayu serta mengukuhkan persaudaraan antara tiga buah negara serumpun iaitu Malaysia, …
Maklumat Lanjut