PERJUANGAN MENENTANG COVID-19 SERLAHKAN KEBERSAMAAN

KUALA LUMPUR – Perjuangan negara menentang pandemik Covid-19 sejak lebih dua tahun lepas telah menyerlahkan kebersamaan Keluarga Malaysia yang pelbagai kaum dan kepercayaan menempuh cabaran besar itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, masyarakat Malaysia tidak terkecuali warga Kementerian Kesihatan (KKM) telah menunjukkan semangat Teguh Bersama ketika negara diuji dengan pandemik Covid-19 sebaik sahaja virus itu dikesan di negara ini pada awal 2020.

“Kesungguhan, ketabahan serta bakti warga KKM bersama pelbagai agensi lain dan penerimaan baik rakyat (kepada pelbagai inisiatif KKM) telah membuahkan kejayaan buat negara untuk terus mengawal wabak Covid-19.

“Semangat Teguh Bersama merupakan antara faktor kejayaan negara (berhadapan Covid-19) menerusi kepatuhan dan penerimaan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan sehingga negara berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik kini dan membolehkan perbarisan Hari Kebangsaan 2022 dapat diadakan semula di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini,” katanya baru-baru ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM menghargai sokongan padu rakyat Malaysia terhadap saranan, program dan insiatif kesihatan awam yang diperkenalkan dan sikap dan komitmen rakyat itu disifatkannya sebagai satu bentuk kepatuhan kepada Rukun Negara dan semangat patriotisme yang tinggi terhadap negara.

“Selamat menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini. Semoga semua pihak kekal Teguh Bersama sebagai satu Keluarga Malaysia. Terus istiqamah menjaga diri, keluarga dan masyarakat sekeliling daripada bahaya jangkitan Covid-19, demam denggi dan lain-lain penyakit berjangkit serta amalkan gaya hidup yang sihat bagi mengawal penyakit tidak berjangkit.

“Untuk warga kerja KKM dan lain-lain petugas kesihatan dan sukarelawan, tidak kira di mana jua anda menabur bakti secara ikhlas, terima kasih diucapkan kepada semua wira dan wirawati negara ini yang setia menjalankan tugasan selaku pasukan barisan hadapan dan juga pasukan di belakang tabir demi mengawal pandemik Covid-19,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pasukan petugas kesihatan adalah antara ‘pejuang negara’ dalam memberi vaksin Covid-19 dan merawat pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan perubatan di pelbagai fasiliti kesihatan kerajaan, swasta, universiti mahupun badan bukan kerajaan di seluruh negara.

Beliau turut mengajak semua rakyat Malaysia mendoakan agar situasi pandemik Covid-19 di Malaysia kekal stabil dan bertambah baik.

Peranan Dr Noor Hisham dalam mengawal pandemik Covid-19 diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada September 2020 yang menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem kesihatan yang kuat serta mempunyai asas kukuh dalam menangani pandemik itu.

Kes pertama Covid-19 di Malaysia disahkan pada 25 Januari 2020 sehingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac tahun sama. Negara melalui pelbagai fasa perintah kawalan sebelum rentas negeri dibenarkan pada Oktober 2021 dan sempadan negara dibuka pada 1 April.

Bagi sambutan Hari Kebangsaan 2022 kali ini, Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai supaya meneruskan pemakaian pelitup muka di tempat sesak walaupun pemakaiannya tidak diwajibkan di tempat terbuka.

Dr Noor Hisham berkata langkah itu bertujuan mengurangkan risiko jangkitan dalam keadaan penjarakan fizikal yang sukar dikekalkan.

Beliau turut menasihati orang ramai agar melakukan penilaian risiko kendiri Covid-19 dan sekiranya bergejala sebaiknya mengasingkan diri walaupun keputusan ujian kendiri Covid-19 menunjukkan negatif.

Dr Noor Hisham juga berterima kasih dan teruja dengan sokongan padu diberikan rakyat terhadap Pindaan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 serta sasaran KKM untuk melahirkan generasi penamat (GEG) bagi merokok menjelang 2040.

“Ramai yang lantang menyokong dan ramai juga yang menyokong dalam diam sebagai suara majoriti senyap serta menaruh harapan yang tinggi agar pindaan rang undang-undang dan sasaran GEG ini dapat diluluskan kelak,” katanya.

Selepas dua tahun tidak dapat diadakan akibat pandemik Covid-19, acara tradisi pada Hari Kebangsaan iaitu perbarisan akan berlangsung di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini

SUMBER : SIHARHARIAN

Artikel/Berita Terkini

MESYUARAT JAWATANKUASA KERJA KESELAMATAN NEGERI (JKKN) NEGERI MELAKA BIL 1/2024

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri …
Maklumat Lanjut

PROGRAM KACAU BUBUR LAMBUK BERSAMA AGENSI KESELAMATAN (REJIMEN 514 ASKAR WATANIAH) NEGERI MELAKA

Bukit Beruang, 28 Mac – Pengarah Keselamatan Negeri, MKN Negeri Melaka, Tuan Mohd Shaiful Hizam bin Johan turun padang bagi …
Maklumat Lanjut

OPS PENGARAH MAC 2024

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan telah mengadakan Ops Pengarah yang mensasarkan pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya …
Maklumat Lanjut