PARKIR BERPUSAT HOSPITAL MELAKA MULA OPERASI NOVEMBER – EXCO

 

MERLIMAU 29 Ogos – Kerajaan negeri menyediakan satu tapak parkir khas berpusat (One Stop Parking Centre) di Taman 1 Lagenda yang mula beroperasi Nov ini bagi mengatasi masalah kesesakan kenderaan pelawat di Hospital Melaka.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, lokasi itu menyediakan sebanyak 200 tapak parkir untuk memudahkan waris pesakit, pelawat serta kakitangan Hospital Melaka meletakkan kenderaan.

“Kita sudah berbincang dengan syarikat Panorama (Melaka) dan mereka bersetuju untuk permulaan menyediakan sebanyak empat buah bas bagi tujuan membawa waris pesakit, pelawat dan kakitangan hospital berkenaan.

“Waktu operasi bas Panorama ini bermula jam 6 pagi sehingga 10.30 malam dan pengguna perlu menunggu ketibaan sekitar 10 ke 15 minit bagi setiap bas tersebut.

“Kawasan ini menyediakan 200 tapak parkir, pengguna hanya perlu membayar RM1 bagi tempoh masa sejam, bagaimanapun bagi kakitangan Hospital Melaka, kita minta pihak Panorama menyediakan pakej bayaran serendah RM30 sebulan pada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai One Stop Parking Centre di Kompleks Japerun Merlimau, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pewaris yang ingin menurunkan pesakit di Hospital Melaka masih dibenarkan bagi memastikan urusan mendapatkan rawatan lebih pantas.

“Waris boleh menurunkan ibu bapa mereka atau pesakit di lobi Hospital Melaka, selepas itu waris ini perlu pergi ke One Stop Parking Centre untuk meletakkan kenderaan mereka.

“Di lobi ini kita akan sediakan lima orang kakitangan hospital untuk menyambut pesakit yang datang dan mendaftarkan mereka untuk mendapatkan rawatan di jabatan sepatutnya.

“Jadi anak-anak atau waris pesakit tidak perlu risau keluarga mereka perlu tunggu lama untuk mendapatkan rawatan kerana kita ada kakitangan yang telah menguruskan ahli keluarga mereka di hospital tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan warga emas, orang kurang upaya (OKU) kekal atau sementara dan ibu mengandung masih boleh meletakkan kenderaan di dalam kawasan Hospital Melaka.

“Kita masih memberikan keutamaan kepada mereka ini untuk parkir dalam hospital kerana pergerakan mereka terhad, ini khususnya pada waktu puncak iaitu jam 7 hingga 10 pagi.

“Selepas jam 8 malam waris, pelawat dan kakitangan hospital Melaka ini boleh meletakkan kenderaan mereka di dalam hospital kerana kesesakan tersebut telah berkurangan,” katanya.

Sumber : Melaka Hari Ini

 

Artikel/Berita Terkini

PAHANG SALUR RM1.2 JUTA UNTUK PROGRAM CELIK AL-QURAN OKU PENGLIHATAN

KUANTAN: Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM1.2 juta melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi Program Celik al-Quran Braille untuk golongan orang …
Maklumat Lanjut

PENTINGKAH KEAMANAN DAN KEDAMAIAN DALAM SESEBUAH NEGARA?

Saban hari, persoalan tersebut sering bermain di fikiran setiap generasi muda yang baru hendak melangkah ke alam dewasa. Di mana …
Maklumat Lanjut

PENGETAHUAN CPR MASIH RENDAH DIKALANGAN MASYARAKAT KITA

Pengetahuan asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dalam kalangan masyarakat  di negara ini masih rendah meskipun bilangan kes kematian mengejut dilaporkan …
Maklumat Lanjut