TRIVIA KEMERDEKAAN 2022 : JALUR GEMILANG, BENDERA RASMI MALAYSIA

DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025

NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 3: KESEPADUAN NASIONAL (SEMANGAT PATRIOTISME)

Bendera merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kedaulatan bagi sesebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada 29 November 1949 apabila Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan peringkat kebangsaan untuk memilih reka bentuk bendera bagi kerajaan yang bakal dibentuk. Dalam pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan pada Mei 1948 tersebut, seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian dan bendera ciptaanΒ Encik Mohamed bin HamzahΒ (arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor) telah dipilih sebagai pemenang.

Majlis Perundangan Persekutuan selanjutnya telah membuat pindaan terhadap bintang pecah lima kepada bintang pecah 11 bagi menunjukkan perpaduan 11 negeri sebelum dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk mendapatkan perkenan. Majlis Raja-Raja telah memperkenankan reka bentuk bendera yang dikemukakan dengan beberapa pindaan, antaranya penukaran warna bulan sabit dan bintang dari warna putih ke warna kuning bagi melambangkan warna DiRaja.

Lanjutan dari itu, Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan buat pertama kalinya di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King George VI pada 26 Mei 1950. Bendera Persekutuan Tanah Melayu seterusnya telah dinaikkan dan berkibar secara rasmi pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor, seiring dengan berkumandangnya lagu Negaraku yang buat kali pertama diperdengarkan kepada umum.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang sebelum ini berjumlah 11 jalur melintang berwarna merah dan putih telah bertambah jalurnya kepada 14 jalur sebaik sahaja Sabah, Sarawak dan Singapura menyertai Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Penambahan jalur ini adalah bagi mewakili tiga negeri tersebut. Bendera ini dikenali sebagai Bendera Malaysia. Walaupun Singapura dikeluarkan dari Malaysia pada Ogos 1965, jumlah jalur pada bendera Malaysia masih kekal termasuk ciri-ciri yang ada padanya.

Setelah berkibar megah sejak tahun 1950, pada malam 31 Ogos 1997 sempena sambutan 40 tahun kemerdekaan negara, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang merupakan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu telah mengukir sejarah dengan pengisytiharan nama baharu bagi Bendera Malaysia iaitu sebagai Jalur Gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Maksud lambang dan warna pada Bendera Malaysia adalah seperti berikut:

  • Bahagian yang berwarna biru tua di sebelah kiri melambangkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bersatu padu serta berusaha dalam memajukan ekonomi berasaskan sains dan teknologi.
  • Warna kuning pada lambang anak bulan dan bintang pecah 14 bermaksud kedaulatan Raja Berperlembagaan serta mendokong dan menghormati lunas-lunas perlembagaan dan falsafah Rukun Negara.
  • Warna merah melambangkan keberanian dan bersedia dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
  • Warna putih pula melambangkan kesucian, keikhlasan dan kesungguhan bagi mempertingkatkan ketahanan rakyat yang beradab, berkebudayaan dan berkeperibadian Malaysia.
  • Lambang anak bulan membawa maksud Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan lambang bintang pecah 14 menunjukkan perpaduan 13 buah negeri (Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu) dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Artikel/Berita Terkini

BISKUT RAYA SERENDAH RM13 SEBALANG

Pengalaman hidup susah sehingga tidak mampu membeli kuih raya pada zaman kanak-kanaknya, mendorong seorang pengusaha biskut dan kek menjual pelbagai …
Maklumat Lanjut