KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob mengumumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan dana bagi pembinaan rumah dhuafa’ dua kali ganda lebih tinggi pada tahun ini berbanding RM10.67 juta pada tahun lalu.
Dana RM55.38 juta disediakan untuk membina perumahan rakyat mampu milik di Kelantan pada tahun 2022 termasuk RM22.35 juta bagi program pembinaan rumah dhuafa’ kepada penduduk miskin.
Beliau juga menjelaskan biarpun kos bahan binaan meningkat, Kerajaan Negeri Kelantan yang mempraktikkan tonggak Kebajikan terus komited membina rumah tersebut untuk keselesaan penduduk yang kurang berkemampuan.
“Kenaikan kos bagi setiap rumah dhuafa’ bernilai RM55,000 berbanding RM45,000 yang ditetapkan sebelum ini dan syarat pembinaan kekal bagi setiap rumah mempunyai tiga bilik, dapur, tandas dan ruang tamu. Pemohon mestilah memiliki tanah sendiri”, katanya selepas Majlis Perasmian Kempen Pemilikan Rumah Negeri Kelantan di Mydin Mall, Tunjong, semalam.
Tambahnya, projek pembinaan berterusan sehingga hujung tahun ini dan peruntukan tersebut boleh juga digunakan untuk membaiki rumah penduduk miskin berharga RM10,000 setiap rumah.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REDHA) Kelantan, Muhammad Amir Bakhtiar Yusoff dan Pengerusi Pameran Perumahan dan Hartanah Malaysia (MAPEX) Kelantan, Dato’ Samsuri Awang Mat.