PEMANSUHAN HUKUMAN MATI MANDATORI DI MALAYSIA

PUTRAJAYA, 10 Jun 2022 – Kerajaan telah bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara Mahkamah.

Keputusan ini dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022.

Kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut.

Jawatankuasa tersebut diketuai oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Y.Bhg Tun Richard Malanjum dan dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada Institusi Pengajian Awam terkemuka dan pakar kajian jenayah (criminologist).

YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi mengesahkan bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu (1) kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara Mahkamah.

Kajian lanjut ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain Kementerian/Jabatan berkepentingan.

Tindakan ini adalah amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta yang berkaitan mengambil kira prinsip ‘proportionality’ dan keperlembagaan (constitutionality) mana-mana cadangan kepada Kerajaan nanti.

Kerajaan juga akan turut mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah (Criminal Justice System) di negara ini, antaranya seperti pewujudan prosedur pra penghukuman (pre-sentencing procedure), penubuhan Majlis Penghukuman (Sentencing Council), pembangunan Garis Panduan Penghukuman (Sentencing Guideline), penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang (Law Commission), pembaharuan institusi kepenjaraan (Prison Reform) dan pelaksanaan hukuman berdasarkan restorative justice.

YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi menjelaskan bahawa “keputusan berkaitan perkara ini menunjukkan keutamaan Kerajaan untuk memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara ini dalam menambahbaik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik”.

Kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas komitmen yang telah diberikan Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam penghasilan laporan kajian ini yang menjadi asas kepada perubahan sistem keadilan jenayah negara yang lebih sistematik dan efektif.

Sumber: Laman FB Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar

Artikel/Berita Terkini

TIPS PENGGUNAAN BARANGAN ELEKTRIK SEMASA DI RUMAH

Barangan elektrik tidak dapat dinafikan sangat banyak membantu memudahkan tugasan domestik seharian. Tugasan memasak, mengemas rumah dan mencuci pakaian tidak …
Maklumat Lanjut

LAPAN ANGGOTA FRU DIDAKWA SIMPAN BAHAGIAN BADAN PELANDUK

Lapan anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyimpan bahagian …
Maklumat Lanjut

BANJIR KILAT: KEROSAKAN INFRASTRUKTUR DIANGGAR CECAH RM1 JUTA

Kerugian membabitkan kerosakan infrastruktur di beberapa daerah di Negeri Sembilan akibat banjir kilat susulan hujan lebat pada Selasa, dianggarkan mencecah …
Maklumat Lanjut