ISTIADAT MENGARAK PANJI-PANJI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG

PUTRAJAYA, 10 Jun 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Mengarak Panji-Panji sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang berlangsung di Dataran Pahlawan, sebentar tadi.

Sempena istiadat ini sebanyak lima Panji-Panji KDYMM SPB Yang diPertuan Agong diarak oleh kontinjen-kontinjen dari Angkatan Tentera Malaysia iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM) melibatkan Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Armor Diraja (KAD) di samping Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diiringi oleh pancaragam gabungan Angkatan Tentera Malaysia.

Sebanyak lima buah pesawat ATM turut terlibat iaitu tiga buah Helikopter EC725AP, sebuah Agusta 109 dan sebuah Superlynx yang membuat formasi terbang lintas hormat dengan membawa Bendera Jalur Gemilang, Bendera ATM, TDM, TLDM dan TUDM disusuli dengan Tembakan Kehormatan 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja. Secara keseluruhanhya, istiadat ini melibatkan 131 pegawai dan 1,066 anggota lain-lain pangkat (LLP).

Turut hadir dalam Istiadat ini adalah Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob serta isteri, YABhg Datin Sri Muhaini binti Zainal Abidin; Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein serta isteri, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham Bin Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM dan isteri, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, dan Panglima-panglima Perkhidmatan.

Sumber: Laman FB Kementerian Pertahanan Malaysia

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut