HFMD DIJANGKA MENURUN DALAM TEMPOH DUA MINGGU LAGI

PENYAKIT tangan, kaki dan mulut (HFMD) setakat ini dianggap hanya penularan tempatan di Malaysia dan dijangka gelombang jangkitannya akan menurun dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata kebiasaannya penyakit HFMD ini bermusim dengan ia bermula dari jangkitan hingga menjadi gelombang namun tidak sampai sebulan akan menurun dengan sendirinya.

“Apabila ramai kanak-kanak terdedah kepada virus-virus tersebut maka tahap imuniti mereka akan meningkat dan bilangan kes akan menurun.

“Dan akan ada juga intervensi dari segi kebersihan kendiri, kebersihan taska dan juga pusat-pusat penjagaan yang akan membantu penurunan kes,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Perubatan Bernilai RM19.3 juta sumbangan Jepun di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah, hari ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) juga mempunyai teori mengapa kes HFMD naik dengan mendadak tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Satu, sudah pasti kerana tadika dan taska dibuka semula. Tetapi kalau dibandingkan dengan tahun 2019 ia agak tinggi. Ini disebabkan kanak-kanak kita sudah dua tahun tidak keluar jadi bila mereka tidak terdedah kepada virus ini, mereka punya tahap imuniti pun turun kerana tidak pernah jumpa virus ini.

“Ini teori klasik imuniti semulajadi. Bila tidak terdedah dengan virus imuniti akan rendah, sebab itu mungkin kes agak tinggi sekarang kerana kanak-kanak kita boleh dikatakan sebagai naif dengan virus HFMD ini,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun kebanyakan kes yang dilaporkan adalah tidak serius dan KKM memberi nasihat kepada ibu bapa jika ada apa-apa tanda atau gejala HFMD untuk dapatkan bantuan perubatan dan jangan hantar anak ke tadika, taska dan pusat asuhan, kerana ia antara punca menyebabkan Penyakit itu merebak.

Sementara itu, bercakap mengenai peralatan perubatan yang disumbangkan kerajaan Jepun kepada Malaysia, Khairy ia akan diagihkan ke hospital-hospital seluruh negara terutama di kawasan luar bandar.

“Banyak hospital yang akan menerima sumbangan ini. Antara peralatan besar yang akan dihantar adalah katil untuk Unit Rawatan Rapi (ICU), mesin defibrillator, mesin ultrasound dan pelbagai lagi peralatan perubatan yang boleh memanfaatkan hospital kita terutama hospital-hospital di luar bandar,” katanya.

Menurutnya, perancangan asal sumbangan berkenaan adalah untuk Covid-19, tetapi tidak bermakna apabila Covid-19 berkurangan ia tidak boleh guna untuk bukan Covid-19.

“Kerajaan Jepun juga tidak mengenakan syarat bahawa sumbangan diberikan untuk Covid-19. Ini sumbangan yang ikhlas untuk kita gunakan bagi pesakit di Malaysia,” katanya.HFMD

SUMBER: MALAYSIAPOST

Artikel/Berita Terkini

PAHANG SALUR RM1.2 JUTA UNTUK PROGRAM CELIK AL-QURAN OKU PENGLIHATAN

KUANTAN: Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM1.2 juta melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi Program Celik al-Quran Braille untuk golongan orang …
Maklumat Lanjut

PENTINGKAH KEAMANAN DAN KEDAMAIAN DALAM SESEBUAH NEGARA?

Saban hari, persoalan tersebut sering bermain di fikiran setiap generasi muda yang baru hendak melangkah ke alam dewasa. Di mana …
Maklumat Lanjut

PENGETAHUAN CPR MASIH RENDAH DIKALANGAN MASYARAKAT KITA

Pengetahuan asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dalam kalangan masyarakat  di negara ini masih rendah meskipun bilangan kes kematian mengejut dilaporkan …
Maklumat Lanjut