EMPAT KADET MALAYSIA DITERIMA MASUK KE AKADEMI TENTERA AMERIKA SYARIKAT TAHUN 2022

DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025

NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 9: Pengiktirafan Antarabangsa

Empat kadet Malaysia telah terpilih untuk meneruskan pengajian di akademi tentera Amerika Syarkat (AS) pada tahun ini.

Kadet tersebut ialah Muhamad Danish Imran Zainudin dan Qarin Loqman Safriza berumur 18 tahun dari Maktab Tentera Diraja yang akan melanjutkan pengajian ke Akademi Tentera Laut AS (USNA) Maryland manakala Zarif Mohd Zamrin dan Edlan Mikyad Ahmad Syamly berumur 20 tahun dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) masing-masing akan melanjutkan pengajian ke Akademi Tentera Udara AS (USAFA), Colorando dan Akademi Tentera AS (USMA) West Point, New York.

Keempat-empat mereka adalah orang pertama dalam keluarga yang berkhidmat dalam latihan ketenteraan dan bersedia untuk menjadi pegawai tentera Malaysia pada masa hadapan.

Difahamkan sebanyak 69 negara dijemput untuk menyenaraikan calon dengan matlamat 15 pelajar terpilih di setiap akademi perkhidmatan pada tahun ini. Ketua Misi Kedutaan AS di Malaysia, Michael Newbill berkata, proses pemilihan adalah sangat ketat apabila kurang daripada 20 peratus pemohon antarabangsa yang dipilih serta calon akan dinilai dari segi prestasi akademik, kebolehan fizikal, karakter dan potensi kepimpinan.

Oleh itu kemampuan keempat-empat pelajar ini yang berjaya melayakkan diri untuk mengikuti latihan ketenteraan AS wajar dirai dan diberi sokongan kerana telah mengharumkan nama negara dengan keupayaan mengatasi calon negara lain melalui saringan pemilihan yang teliti.

Akademi latihan ketenteraan di AS ini pada mulanya diwujudkan untuk melatih generasi muda di negara berkenaan bagi menjalani latihan ketenteraan namun negara Uncle Sam itu melihat ada keperluan untuk membuka latihan kepada kadet dari luar bagi meningkatkan hubungan ketenteraan serta diplomasi antara negara. Banyak negara telah menghantar wakil anak muda mereka bagi menjalani latihan ketenteraan di AS dengan menjalani proses yang ditetapkan oleh AS dan Malaysia juga tidak terkecuali dalam melibatkan diri apabila sebanyak 36 orang rakyat Malaysia telah menjadi graduan akademi ketenteraan di AS sejak tahun 1971.

Ketika ini terdapat lima kadet dari Malaysia sedang mengikuti pengajian di akademi latihan ketenteraan AS dan akan menjadikan keseluruhannya 9 kadet dengan kemasukan yang baharu ini.

Semoga kadet-kadet ini terus cekal dan bersemangat menjalani latihan dan pulang dengan kejayaan yang mengharumkan nama agama dan negara.

Sumber:

Utusan Malaysia | Astro Awani | Berita Harian | Laman FB US Embassy Kuala Lumpur

 

Artikel/Berita Terkini

PAHANG SALUR RM1.2 JUTA UNTUK PROGRAM CELIK AL-QURAN OKU PENGLIHATAN

KUANTAN: Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM1.2 juta melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi Program Celik al-Quran Braille untuk golongan orang …
Maklumat Lanjut

PENTINGKAH KEAMANAN DAN KEDAMAIAN DALAM SESEBUAH NEGARA?

Saban hari, persoalan tersebut sering bermain di fikiran setiap generasi muda yang baru hendak melangkah ke alam dewasa. Di mana …
Maklumat Lanjut

PENGETAHUAN CPR MASIH RENDAH DIKALANGAN MASYARAKAT KITA

Pengetahuan asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dalam kalangan masyarakat  di negara ini masih rendah meskipun bilangan kes kematian mengejut dilaporkan …
Maklumat Lanjut