KERAJAAN PAHANG SETUJU BELI BOT AMPHIBIA, HOVERCRAFT BAGI PERSEDIAAN BANJIR

KUANTAN, 27 Mei 2022 – Kerajaan Pahang bersetuju untuk melaksanakan perolehan dan perbelanjaan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan banjir di Negeri Pahang termasuk pembelian tiga buah bot amphibia dan sebuah bot hovercraft.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain itu, Kerajaan Pahang juga akan membina enam pusat pemindahan banjir kekal dan pembinaan helipad (landasan pendaratan helikopter) di Benta, Kampung Rening di Cameron Highlands, Bandar Temerloh, Lanchang dan Chenor.

Katanya lagi, pihaknya juga akan membuat pembelian instrumen Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh untuk Cameron Highlands dan Sistem Amaran Banjir di Raub.

“Kita juga akan membuat pembelian bot-bot menyelamat yang akan ditempatkan di pejabat-pejabat Penghulu. Selain itu pelaksanaan kursus khas pengurusan bencana banjir kepada petugas-petugas di peringkat daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media mengenai peruntukan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan banjir Negeri Pahang hari ini.

Katanya lagi, kesemua perolehan dan perbelanjaan ini dianggarkan bernilai lebih kurang RM35 juta.

Selain itu, Kerajaan Negeri Pahang juga sedang menyelaras beberapa lagi tindakan perolehan dan perbelanjaan bagi memastikan pengurusan bencana banjir sentiasa lancar dan efisien, namun, pendekatan yang diambil adalah berbeza berdasarkan keperluan dan permintaan di setiap daerah.

“Saya berharap dengan perolehan dan perbelanjaan ini, semua pihak khususnya pasukan penyelamat dan petugas barisan hadapan sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang situasi bencana yang berlaku pada bila-bila masa terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

“Bagi saya, pasukan penyelamat dan petugas barisan hadapan sememangnya perlu dibekalkan dengan kelengkapan yang bersesuaian serta latihan dan ilmu yang sepatutnya kerana mereka terdedah kepada risiko besar ketika berlakunya sesuatu bencana,” katanya.

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha bagi menambah baik keperluan dan kelengkapan sedia ada yang dibekalkan kepada petugas.

Sumber: Laman FB Pahang Media

Artikel/Berita Terkini

TEKAN PEMATUHAN GARIS PANDUAN DAN ASPEK KESELAMATAN PEMBINAAN MENARA TELEKOMUNIKASI

KUANTAN, 25 APRIL 2024 : Keselamatan menara dan struktur sistem pemancar telekomunikasi adalah penting di mana pembinaannya perlu mengikut spesifikasi …
Maklumat Lanjut

DUA AHLI ‘GENG BEAN’ AKTIF CURI MOTOSIKAL DI KL, JUAL DI SEREMBAN TUMPAS

Polis menumpaskan ‘Geng Bean’ yang aktif mencuri motosikal dengan penahanan dua lelaki dalam serbuan berasingan sekitar ibu kota dan Seremban, …
Maklumat Lanjut

PROGRAM BUDAYA TIGA SERUMPUN 2024 TERUS PERKUKUH TIGA NEGARA

Program Budaya Tiga Serumpun 2024 menjadi platform memartabatkan Bahasa Melayu serta mengukuhkan persaudaraan antara tiga buah negara serumpun iaitu Malaysia, …
Maklumat Lanjut