PASIR MAS – Pencapaian keseluruhan Projek Ladang Solar Terapung di Danau To’ Uban kini hampir 80 peratus siap.
Exco Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata pihaknya berpuas hati dengan perkembangan tersebut. Apatah lagi status pemasangan pulau-pulau solar sudah pun 90 peratus selesai.
Beliau juga memaklumkan pemasangan kabel besar dari Kampung Chandan ke Bukit Kecil sejauh 10 kilometer siap 100 peratus.
“Inverter pun sudah dilabuhkan, batu sauh dan ikatan juga sudah siap. Baki yang sedang dilaksanakan insya Allah dijangka siap pada Ogos kecuali stesen penghantar di Bukit Kecil yang memerlukan penglibatan agensi lain. Kita harap bekalan elektrik boleh disalurkan sebelum penghujung tahun ini”, katanya ketika dihubungi.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan projek mega berimpak tinggi itu memberi manfaat terus kepada rakyat melalui cukai yang dijana oleh projek selama 21 tahun dan hasilnya dipulangkan kepada rakyat melalui aktiviti perikanan dan pelancongan.
“Rakyat perlu merebut peluang ekonomi yang terhasil daripada aktiviti pelancongan yang bakal menjana pendapatan yang sangat lumayan. Selain itu, dengan adanya ladang solar 60MW ini, alam sekitar dapat diselamatkan daripada penggunaan arang batu sebanyak 22 tan sejam dan mencegah pencemaran asap, debu serta haba”, tambahnya.