IBU SOKO TERIMA SUBSIDI MAMOGRAM DAN HPV DNA SEMPENA HARI IBU

 

REMBAU, 14 MEI – Ibu-ibu Soko Luak Rembau dan kaum ibu terima subsidi mamogram dan saringan kanser serviks (HPV DNA) percuma sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Sembilan 2022 dalam Program Jelajah Kasih Keluarga Malaysia (JKKM) “Keluarga Nogoghi : Ziarah Pusako Luak Ghombau” yang dirasmikan oleh Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip bin Haji Othman, Undang Luak Rembau.

Subsidi mamogram dan saringan kanser serviks percuma ini merupakan sebahagian daripada pakej kesihatan percuma yang ditawarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) selain saringan kesihatan, pemeriksaan klinikal payudara dan perkhidmatan perancang keluarga di bawah Kempen Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) yang turut dilancarkan bersama-sama Program JKKM ini.

Sambutan Hari Ibu pada tahun ini bertemakan ‘KASIH Ibu Selamanya’ bertujuan melahirkan penghargaan kepada kaum ibu dengan memberi fokus kepada kesejahteraan ibu dan keluarga dalam memastikan keluarga terpelihara dan sejahtera terutama dalam peralihan negara kepada fasa endemik.

Program Jelajah Kasih Keluarga Malaysia “Keluarga Nogoghi: Ziarah Pusako Luak Ghombau” bersempena Sambutan Hari Ibu ini merupakan anjuran bersama tiga agensi iaitu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan, Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan. Kerjasama julung kali ini bertujuan memudahkan rakyat mendapat akses kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan dalam satu program dan setempat.

Pemilihan Luak Rembau sebagai lokasi program pula mengambil kira keunikan Adat Perpatih yang memartabatkan kaum ibu yang digelar Ibu Soko sebagai sumber rujukan hal-hal keluarga, adat, politik, ekonomi dan sosial tempatan. Demonstrasi masakan adat Luak Rembau, pameran peralatan adat Luak Rembau dan Tudung Saji Ghombau merupakan antara tarikan dan keunikan yang mengisi perjalanan program. Sebanyak 12 Tudung Saji Ghombau yang terdiri daripada pelbagai kuih manisan daripada 12 suku luak Rembau telah dipamerkan semasa program berlangsung.

Antara acara lain yang mengisi program adalah promosi Buku Digital dan Permainan Interaktif Tab oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Kembara Kaunseling LPPKN, Terapi Urutan MamaCare, Bicara KASIH Keluarga : “Omak-Omak, Jom Bertenang”, Demonstrasi Urutan Untuk Omak-omak, pertandingan mewarna serta kaunter servis dan perdaftaran daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Program ini juga mendapat sokongan yang baik daripada rakan strategik yang lain seperti Majlis Daerah Rembau, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia Negeri Sembilan (RELA).

Program Jelajah KASIH Keluarga Malaysia (JKKM) merupakan program bersiri yang bertujuan menyampaikan perkhidmatan kekeluargaan secara terus kepada komuniti setempat di samping meningkatkan aksesibiliti khidmat sokongan keluarga serta kesihatan reproduktif kepada keluarga yang memerlukan. Daerah Rembau merupakan lokasi pertama JKKM Negeri Sembilan manakala 4 lagi lokasi terpilih adalah di Seremban, Jempol, Jelebu dan Kuala Pilah.

Sumber : LPPKN Negeri Sembilan

Artikel/Berita Terkini

PPM RAMPAS MINUMAN KERAS SELUDUP BERNILAI LEBIH RM66,000

SELUDUP: Suspek dan semua minuman keras tidak bercukai berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut. BELURAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas …
Maklumat Lanjut

PENGUSAHA PERTANIAN DI TANAH KERAJAAN PERLU MOHON LPS

Mana-mana pihak yang mengusahakan tanah kerajaan bagi tujuan pertanian di Negeri Sembilan diminta membuat permohonan kepada Pejabat Tanah dan Daerah …
Maklumat Lanjut

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut