Penduduk sekitar Lembah Klang dikira sangat bertuah kerana mempunyai pelbagai pilihan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel KL. Kalau rasa malas nak memandu, boleh je pergi ke beberapa lokasi menggunakan kemudahan ini.
Untuk mereka yang sudah ada kad Touch ‘n Go atau Rapid KL, senang sikit nak bergerak menggunakan pengangkutan ini. Yang penting kena ‘berisi’ lah kad itu ya. Tapi kalau tak ada kad pun tak apa, boleh juga beli token di mesin.
Kad atau token dah siap sedia, apa tunggu lagi? Jom mulakan perjalanan kita! Antara lokasi yang anda boleh pergi menggunakan LRT, MRT dan Monorel adalah seperti berikut:
- SURIA KLCC (LRT KLCC)
Kalau yang suka shopping barangan berjenama seperti Gucci, Prada, Louis Vuitton dan Chanel, memang tempat ini ibarat syurga bagi mereka. Tapi jika anda cuma mahu bersiar-siar sahaja, pun boleh juga sebab di luar kawasan Suria KLCC mempunyai air pancut ikonik, taman permainan kanak-kanak dan juga kawasan untuk beriadah.
- PAVILION KUALA LUMPUR (MRT BUKIT BINTANG)
Pavilion KL ini terkenal dengan ruang pengiklanan digital yang besar dan sering mencuri perhatian pengunjung serta pemandu yang melalui kawasan tersebut lebih-lebih lagi jika iklan itu berbentuk tiga dimensi. Memang menakjubkan! Pavilion KL yang terletak di Bukit Bintang ini hampir sama dengan Suria KLCC kerana mempunyai banyak kedai barangan berjenama. Dari lokasi ini, anda juga boleh berjalan kaki menuju ke McDonald’s pertama di Malaysia berdekatan WOLO Hotel.
- MYTOWN & IKEA CHERAS (MRT COCHRANE)
MyTown adalah pusat beli-belah yang bersambung dengan IKEA Cheras. Senanglah sikit nak makan bebola daging IKEA lepas habis shopping dengan kawan-kawan atau ahli keluarga. IKEA Cheras juga bersifat ‘mesra keluarga’ kerana mempunyai taman permainan ‘indoor’ untuk kanak-kanak. Para suami yang malas nak ikut isteri shopping di MyTown, bolehlah bawa anak ke taman permainan ini buat sementara menunggu.
SUMBER: SURIA KLCC, TRIPADVISOR, TIME OUT