KDYMM SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG BERKENAN MENYEMPURNAKAN PAMERAN TENUN PAHANG DIRAJA DI LONDON CRAFT WEEK (LCW)

10 MEI 2022, London – KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Tenun Pahang Diraja, sempena London Craft Week (LCW), yang berlangsung dari 9 hingga 15 Mei 2022 di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London, United Kingdom semalam (9 Mei 2022).

Buat julung kalinya, lebih 300 koleksi Tenun Pahang Diraja hasil kerja tangan banduan dari Penjara Penor dan Penjara Bentong, Pahang dipamerkan, termasuk pilihan pakaian Seri Paduka Baginda sendiri, serta koleksi rekaan dan tenun peribadi.

Bertemakan “Menyulam Harapan” (Weaving Hope), pameran turut menampilkan fabrik arkib dari Muzium Pahang dan koleksi baju kurung dan samping Riau-Pahang serta penenun yang merupakan bekas banduan penjara.

Seri Paduka Baginda yang juga penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja menzahirkan harapan agar ianya bukan sahaja menghidupkan Tenun Pahang, malah mempertahankan kelangsungan seni tenun, di samping memberi sinar baharu kepada banduan menerusi program tenunan penjara.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Jabatan Penjara, Institut Kraf Negara dan jabatan berkaitan, kerana ‘memberi harapan dan peluang kedua’ bukan sahaja untuk industri tenunan tertua untuk terus hidup, malah juga untuk membina kehidupan baharu bagi banduan.

Diterajui Seri Paduka Baginda, majlis dan pameran dianjurkan oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara, Muzium Pahang dan Kraftangan Malaysia.

Hadir sama di majlis pelancaran ini, Menteri Luar, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Zakri Jaafar; Komisioner Jeneral Jabatan Penjara, Dato’ Nordin Muhammad; Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim dan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sumber: Laman FB Istana Negara

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …