14 LANGKAH INTERIM OLEH DBKL ATASI ISU BANJIR DI IBU NEGARA

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan 14 langkah interim dengan kos sekitar RM10 juta di bawah Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat 2022 mulai bulan ini bagi mengatasi isu banjir kilat di ibu negara.

Inisiatif tambahan itu dijalankan sebagai langkah segera sebelum penyelesaian jangka panjang yang kini masih dalam kajian Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dan dijangka selesai April tahun hadapan. Selain itu, satu pasukan konsultan (IKRAM) ditubuhkan untuk kaji keseluruhan sistem saliran di Kuala Lumpur dan punca kerap banjir kilat.

Pelan yang akan berpandukan kepada ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia itu membabitkan 25 ‘hotspot’ antaranya Jalan Pintasan Segambut, Jalan Rahmat, Jalan Sultan Azlan Shah, Lebuhraya Sultan Iskandar dan Jalan Maharajalela.

Tumpuan akan diberikan kepada kerja pemantauan dan pembersihan bagi memastikan saluran keluar air larian ke tepi jalan tidak tersumbat atau terhalang yang akan dilaksanakan pasukan khas ‘Public Service Delivery Team’ seliaan DBKL.

Langkah lainnya, termasuk menaik taraf ‘scupper drain’ bagi memastikan kecerunan saluran air sentiasa memuaskan dan menempatkan jentera dan petugas.

DBKL di lokasi strategik banjir bagi memudahkan mobilisasi jentera seperti trak tunda, lori pam air bergerak dan pam air berkuasa tinggi ketika kejadian.

Langkah penyuraian trafik juga akan dipertingkat dengan menempatkan lebih ramai warden trafik DBKL serta Polis Trafik Kuala Lumpur bagi membantu pengguna jalan raya membuat lencongan ke kawasan tidak terlibat banjir kilat.

DBKL juga akan membina ‘sump’ baharu bagi memastikan saluran air lebih sempurna, memasang guni-guni pasir sebagai langkah interim sebelum ‘flood wall’ siap dibina dan menjalankan kerja mengeluarkan kelodak di kolam takungan banjir.

Selain itu, DBKL turut akan memastikan tangki ‘On Site Detention’ milik persendirian berfungsi dengan baik serta melantik kontraktor bagi memastikan sungai dan saluran air tidak dihalang sampah, akar pokok dan tumbuhan liar.

Pihak DBKL juga bercadang menggunakan lebih banyak ‘Stone Mastic Asphalt’ untuk turapan jalan yang lebih meresap air, memperbanyak aktiviti ‘plogging’ (jogging dan kutip sampah), mengisytihar lebih banyak ‘Zon Bebas Sampah’ serta mengeluarkan mesej amaran banjir kilat menerusi Sistem Pesanan Ringkas kepada warga kota.

DBKL menyeru semua warga untuk memberi kerjasama bagi melaksanakan pelan ini dengan tidak membuang sampah di merata-rata tempat khususnya ke dalam sistem saliran.

 

SUMBER: DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM KACAU BUBUR LAMBUK BERSAMA AGENSI KESELAMATAN (REJIMEN 514 ASKAR WATANIAH) NEGERI MELAKA

Bukit Beruang, 28 Mac – Pengarah Keselamatan Negeri, MKN Negeri Melaka, Tuan Mohd Shaiful Hizam bin Johan turun padang bagi …
Maklumat Lanjut

OPS PENGARAH MAC 2024

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan telah mengadakan Ops Pengarah yang mensasarkan pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya …
Maklumat Lanjut

PROGRAM KACAU BUBUR LAMBUK BERSAMA AGENSI KESELAMATAN (PDRM) NEGERI MELAKA

Ayer Keroh – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka dengan kerjasama Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah mengadakan Program …
Maklumat Lanjut