NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 6: KEADILAN SOSIAL (Memelihara Golongan Rentan)
Isu berkaitan pelarasan pendaftaran pusat jagaan antara isu utama yang akan ditangani oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh BERNAMA pada 24 April 2022. Beliau berkata prosedur dan syarat berlainan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) menimbulkan kesukaran pusat jagaan untuk memenuhi syarat itu, malah setiap prosedur juga saling berkait dan bersangkutan antara tugas dan kuasa di setiap kementerian terlibat. Sebagai contoh, kelulusan pusat jagaan bukanlah autoriti KPWKM semata-mata malah ia melibatkan pemeriksaan serta penilaian agensi teknikal yang lain seperti PBT, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat. Kesukaran mendapatkan lesen operasi juga dilihat akan menyebabkan banyak pusat jagaan tidak berdaftar wujud di negara ini demi memenuhi keperluan permintaan pelbagai pihak. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, KPWKM akan membentangkan memorandum kepada Jemaah Menteri bagi melaksanakan penubuhannya dengan segera selain perincian berkaitan jawatankuasa khas itu akan diumum dalam tempoh terdekat.
Sumber: BERNAMA