23 APRIL 2022, MELAKA – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam bagi meneruskan lawatan ke negeri Melaka selama dua hari.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada jam 11.20 pagi disambut TYT Yang di-Pertua negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah binti Abdul Rahman.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Haji Sulaiman bin Md. Ali dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Hajah Munira binti M. Yusop. Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, YB Datuk Wira Haji Ibrahim bin Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, YB Datuk Zaidi bin Johari dan EXCO Kanan, EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, YB Datuk Seri Ab Rauf bin Yusoh.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dijadualkan berangkat menunaikan Solat Jumaat di Masjid Selat, Melaka. Pada sebelah petang Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat ke majlis berbuka puasa dan santapan malam bersama pemimpin kerajaan negeri dan rakyat di Masjid Negeri Al Azim.