PICKIDS: DOS PERTAMA VAKSIN COVID-19 DIBERIKAN SEHINGGA 15 MEI SAHAJA

Dos pertama vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) hanya akan diberikan sehingga 15 Mei ini dan tidak lagi akan ditawarkan selepas tarikh akhir berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata tarikh akhir berkenaan ditetapkan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) memandangkan permintaan rendah vaksinasi yang boleh menyebabkan pembaziran vaksin yang tinggi.

“Bagi mengelakkan pembaziran vaksin Comirnaty kanak-kanak yang tidak digunakan dalam tempoh enam bulan selepas dikeluarkan pengilang, penetapan tarikh akhir dos satu ini perlu dibuat.

Sehubungan itu mulai 16 Mei 2022, KKM (Kementerian Kesihatan) tidak lagi menawarkan dos pertama vaksin Covid-19 jenis Comirnaty dan CoronaVac kepada kanak-kanak yang telah berusia lima hingga bawah 12 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak bermula awal Februari lepas sehingga semalam, hanya seramai 1,371,120 atau 38.6 peratus kanak-kanak telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dan 195,865 telah menerima dua dos vaksin Covid-19.

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi CITF-C berkata dengan pengumuman ini, ibu bapa kepada kanak-kanak yang belum menerima vaksin Covid-19, perlu membuat keputusan mengenai vaksinasi sebelum 15 Mei ini.

“Selepas tarikh ini, vaksin Covid-19 kanak-kanak jenis Comirnaty tidak lagi ditawarkan di mana-mana fasiliti kesihatan awam dan swasta di Malaysia. Vaksin Coronavac pula hanya boleh diperolehi dengan bayaran di fasiliti swasta,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan ini tidak melibatkan vaksinasi bagi kanak-kanak yang lahir pada 2017 dan belum mencapai usia lima tahun pada 15 Mei ini, sementara perincian mengenai vaksinasi kumpulan ini akan diperjelas dalam masa terdekat.

Selain itu, katanya mesyuarat CITF-C turut bersetuju membuat pindaan pada Borang Persetujuan Suntikan Vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak bawah 18 tahun di mana borang baharu ini tidak lagi mempunyai klausa 2, iaitu ayat “Saya bertanggungjawab ke atas risiko yang mungkin berlaku kepada kanak-kanak akibat keputusan/tindakan saya ini kerana manfaat vaksin adalah jauh lebih baik daripada kesan sampingannya”.

“Pengguguran klausa ini bertujuan mengelakkan kekeliruan dan menzahirkan amalan sedia ada yang mana KKM tidak pernah mengabaikan dan sentiasa bersedia menyediakan bantuan kesihatan sewajarnya apabila berlaku kesan sampingan yang berkaitan akibat penerimaan vaksin,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata ibu bapa yang telah mendaftarkan anak di aplikasi MySejahtera, namun masih belum disuntik akan dihubungi petugas kesihatan sama ada melalui telefon, media sosial atau lawatan ke rumah bagi menawarkan vaksinasi Covid-19 kepada anak-anak mereka.

“Ibu bapa yang bersetuju akan diberikan tarikh janji temu sebelum tarikh akhir dos pertama. Ibu bapa yang belum mendaftarkan anak mereka dalam MySejahtera pula boleh berbuat sedemikian selewat-lewatnya 8 Mei ini bagi membolehkan pautan kepada janji temu dapat diberikan sebelum tarikh akhir dos pertama.

Saya menyeru ibu bapa yang masih belum membuat keputusan untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan vaksin secara percuma melalui PICKids sebelum tarikh akhir. Pilihlah untuk vaksinkan anak anda bagi mengelakkan komplikasi jangkitan Covid-19 yang teruk,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

PENYELUDUPAN TERNAKAN JEJAS KESELAMATAN MAKANAN – SULTAN TERENGGANU

KUALA TERENGGANU: Penyeludupan haiwan ternakan tanpa saringan kesihatan dan sijil pengesahan bebas penyakit akan memberi kesan kepada keselamatan makanan. Sultan …
Maklumat Lanjut

TENTERA GAGALKAN CUBAAN SELUDUP BAWANG

KUCHING : Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan cubaan menyeludup bawang merah ke Kalimantan Barat menerusi ‘laluan gajah’ di sempadan …
Maklumat Lanjut

KASTAM RAMPAS MINUMAN KERAS, ROKOK RM1.59 JUTA

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup minuman keras dan rokok putih bernilai RM1.593 juta di pelabuhan …
Maklumat Lanjut