COVID: KES SEMBUH LEBIH TINGGI BERBANDING KES BAHARU SEMALAM

Sebanyak 15,893 kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 dilaporkan semalam, lebih tinggi berbanding kes baharu iaitu 10,052 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu dilaporkan itu, 10,031 adalah kes tempatan dengan 95.8 peratus warganegara dan 4.2 peratus bukan warganegara manakala 21 kes import terdiri daripada 85.7 peratus warganegara dan 14.3 peratus bukan warganegara.

“Sebanyak 426 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam dengan 182 kes atau 42.7 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala selebihnya 244 kes atau 57.3 peratus adalah kategori satu dan dua,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan pula menurun kepada 97 pesakit semalam dengan peratusan penggunaan ventilator adalah 11 peratus.

Mengenai fasiliti kesihatan khusus untuk kes Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, Putrajaya dan Selangor mencatat penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus iaitu 67 peratus di Putrajaya dan 51 peratus di Selangor, dan hanya Putrajaya merekodkan penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus iaitu 53 peratus.

Bagi pengisian katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), hanya Perak mencatat peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu 59 peratus di negeri itu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat tiga kluster baharu direkodkan semalam menjadikan jumlah kluster yang aktif kini 113 kluster.

Menurutnya kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau nilai Rt dicatatkan di seluruh negara pula adalah 0.85 dengan Selangor masih merekodkan kadar tertinggi iaitu 0.93 dan Labuan mencatat kadar paling rendah dengan 15 kes.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

JAMBATAN BAILEY DI JALAN KUANTAN-SEGAMAT DITUTUP SEMINGGU

Kuantan: Jalan Persekutuan (FT) 12 Jalan Kuantan-Segamat di Seksyen 102 (Kilometer 63 berhampiran kawasan burung unta) akan ditutup mulai 12 …
Maklumat Lanjut

51 PESERTA BAKAL PAMER KEMAHIRAN PANJAT POKOK TEMBUSU

Kuantan: Perbadanan Taman Negeri Pahang dengan kerjasama Persatuan Arborist Malaysia menganjurkan Pertandingan Memanjat Pokok Asia Pasifik (APTCC) 2024 di Kelab …
Maklumat Lanjut

JIM JALIN KERJASAMA DENGAN MC, JMB TANGANI ISU PATI

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur mengambil inisiatif untuk menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Pengurusan (MC) dan Badan Pengurusan …
Maklumat Lanjut