JUMLAH KANAK-KANAK, WARGA EMAS TERIMA VAKSIN MASIH RENDAH DI LABUAN

WP LABUAN, 4 April – Jumlah kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun serta golongan warga emas yang telah menerima atau melengkapkan vaksinasi COVID-19 di Labuan, masih jauh daripada yang diharapkan, kata Pengarah Jabatan Kesihatannya Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata perkara itu diketahui hasil pemantauan yang dijalankan oleh petugas kesihatan di seluruh pulau bebas cukai itu dari 23 Feb hingga 29 Mac lepas.

“Agak mengecewakan melihat hanya sejumlah kecil daripada kumpulan berkenaan mengambil dan melengkapkan vaksinasi mereka meskipun berlaku peningkatan kes COVID-19 membabitkan kanak-kanak dan warga emas.

“Kami telah menjalankan kempen secara meluas untuk menarik orang ramai terutama kanak-kanak dan warga emas mendapatkan vaksin, tetapi nampaknya ia seolah-olah tidak diendahkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya 73 peratus daripada 926 kanak-kanak (lima hingga 11 tahun) yang dipantau belum menerima vaksin, manakala bakinya iaitu 254 orang hanya menerima dos pertama, walaupun Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) telah dilancarkan sejak 7 Feb lepas.

“Bagaimanapun, kadar imunisasi dalam kalangan remaja (12-17 tahun) terus meningkat dengan 80 peratus daripada 699 remaja lengkap divaksinasi, tujuh peratus menerima dos pertama dan baki 13 peratus masih belum menerima vaksin,” katanya.

Dr Ismuni berkata golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang belum menerima vaksin pula adalah sembilan peratus daripada sejumlah 468 orang dalam tinjauan yang dilakukan, empat peratus menerima satu dos, 30 peratus lengkap dos kedua dan 57 peratus menerima dos penggalak.

“Bagi kumpulan dewasa (18-59 tahun), daripada 3,534 orang yang dilakukan tinjauan, 52 peratus telah menerima dos penggalak, 43 peratus lengkap dos kedua, tiga peratus menerima dos pertama dan baki dua peratus tidak divaksinasi,” katanya.

Dr Ismuni berkata antara punca yang menyumbang kepada angka yang rendah bagi penerima vaksin itu adalah tidak digalakkan oleh ahli keluarga dan rakan, tidak percaya pada vaksin, yakin dengan imuniti diri dan merasakan dua dos vaksin sudah memadai.

“Sebahagian daripada mereka juga memberi alasan tidak bersedia untuk divaksinasi, selain berpendapat vaksinasi tidak wajib, bimbang dengan kesan sampingan dan sebab kesihatan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

#KeluargaMalaysia #MKNLabuan

Artikel/Berita Terkini

JAMBATAN BAILEY DI JALAN KUANTAN-SEGAMAT DITUTUP SEMINGGU

Kuantan: Jalan Persekutuan (FT) 12 Jalan Kuantan-Segamat di Seksyen 102 (Kilometer 63 berhampiran kawasan burung unta) akan ditutup mulai 12 …
Maklumat Lanjut

51 PESERTA BAKAL PAMER KEMAHIRAN PANJAT POKOK TEMBUSU

Kuantan: Perbadanan Taman Negeri Pahang dengan kerjasama Persatuan Arborist Malaysia menganjurkan Pertandingan Memanjat Pokok Asia Pasifik (APTCC) 2024 di Kelab …
Maklumat Lanjut

JIM JALIN KERJASAMA DENGAN MC, JMB TANGANI ISU PATI

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur mengambil inisiatif untuk menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Pengurusan (MC) dan Badan Pengurusan …
Maklumat Lanjut