SEJUTA TELUR AYAM SEBULAN DARI SABAH TIDAK CUKUP TAMPUNG KEPERLUAN LABUAN

WP LABUAN – Walaupun satu juta telur ayam sebulan telah dibekalkan ke Labuan oleh ladang ternakan ayam di Sabah, ia masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan semasa daripada pengguna dan pengusaha makanan di sini.

Kedai runcit dan pasar raya besar di seluruh pulau bebas cukai itu menghadapi kekurangan bekalan telur ayam sejak September lepas, ekoran pembekal di Sabah mengubah kuota bekalan daripada mingguan kepada bulanan.

la berikutan arahan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah pada 20 Ogos lepas kepada pengusaha ladang ternakan ayam di negeri itu untuk mengurangkan jumlah eksport daripada 500,000 telur ayam seminggu kepada 500,000 sebulan ke Labuan, yang kemudian dinaikkan kepada satu juta sebulan bermula 21 Nov lepas.

Pengarah JPV Labuan Dr Marysia James Abie berkata berikutan kekurangan bekalan tersebut, pihaknya telah membenarkan pengimport tempatan untuk membawa masuk telur ayam dari ladang di Melaka dan Johor ke pulau itu, keseluruhan berjumlah 1,325,240 telur ayam sejak Oktober lepas hingga hari ini.

Beliau berkata menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, satu jawatankuasa bekalan makanan telah dibentuk membabitkan JPV Labuan, pemborong tempatan, pembekal dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Pihak kami akan mendapatkan senarai ladang ternakan di Semenanjung bagi membantu dari segi pengeluaran permit import dan eksport telur ayam, dan ini adalah antara cara untuk mengurangkan masalah kekurangan bekalan telur di pulau ini menjelang bulan puasa dan sambutan Hari Raya,” katanya.

Marysia berkata telur gred B dan C habis terjual dalam beberapa jam selepas bekalan sampai, tetapi gred premium seperti Omega dan Selenium boleh bertahan beberapa hari di rak kedai.

Menurutnya permohonan kali kedua kepada JPV Sabah telah diserahkan pada 4 Feb lepas bagi menambah jumlah eksport daripada sejuta kepada dua juta telur ayam sebulan, namun ia tidak diluluskan.

Bernama sebelum ini melaporkan mengenai perubahan kuota eksport telur ayam ke Labuan daripada mingguan kepada bulanan, yang sebahagian besarnya disebabkan penurunan pengeluaran telur di Sabah dan isu-isu lain, termasuk penyakit berkaitan ayam.

Sumber: BERNAMA

#KeluargaMalaysia #MKNLabuan

Artikel/Berita Terkini

TANDA-TANDA MASALAH KESIHATAN MENTAL

Tanda-tanda masalah kesihatan mental mempunyai pelbagai variasi bergantung kepada jenis gangguan dan individu. Berikut adalah beberapa tanda umum yang mungkin …
Maklumat Lanjut

TIP MAKAN SIHAT

Apabila menghadiri jamuan hari raya atau berkunjung ke rumah terbuka, kita akan dihidangkan dengan pelbagai jenis hidangan yang enak. Ini …
Maklumat Lanjut

300 RUMAH MESRA RAKYAT DIBINA DI MELAKA SEPANJANG 2024

Bandaraya Melaka  24 April – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Melaka memperuntukkan pembinaan hampir 300 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) …
Maklumat Lanjut