DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK TITAH SOLAT BERJEMAAH TANPA PENJARAKAN SOSIAL DI MASJID, SURAU NEGERI PERAK BERMULA 1 APRIL

IPOH, 23 MAC 2022- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membenarkan semua masjid dan surau di negeri Perak menunaikan solat berjemaah tanpa jarak fizikal dengan bilangan jemaah mengikut keluasan ruang masjid atau surau mulai 1 April ini.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, langkah berkenaan diambil selaras dengan permulaan Fasa Peralihan Endemik di seluruh negara bermula pada tarikh tersebut.
“Bermula solat subuh Jumaat (1 April ini), solat fardu, solat Jumaat, dan solat jenazah boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal antara jemaah, dan bilangan jemaah yang dibenarkan ialah mengikuti keluasan ruang masjid atau surau.

“Walau bagaimanapun, demi melindungi keselamatan para pelajar, terutama yang berada di sekolah asrama penuh, pengetua sekolah dan pusat-pusat pengajian sama ada universiti, maktab dan kolej, diberikan budi bicara masih boleh mengadakan solat Jumaat dalam surau, bangunan atau kawasan institusi masing-masing,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Sesi Sembah Taklimat Aktiviti Masjid dan Surau di Negeri Perak Fasa Peralihan Endemik di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi Haji Zainuddin; YABhg. Yang Dipertua MAIPk, Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, jawatankuasa dan pegawai masjid dibenarkan menggunakan budi bicara menentukan bilangan rakaat solat tarawih yang difikirkan munasabah di masjid dan surau masing-masing.

Jelas baginda, ia boleh dilakukan atas pertimbangan meminimumkan risiko jangkitan dalam tempoh peralihan ini walaupun Perak pada lazimnya menetapkan 20 rakaat solat tarawih sepanjang Ramadan.
“Ia boleh dilakukan atas pertimbangan meminimumkan risiko jangkitan dalam tempoh peralihan ini walaupun Perak pada lazimnya menetapkan 20 rakaat solat tarawih sepanjang Ramadan.

“Bagi meminimumkan tempoh pendedahan jemaah kepada udara yang terperangkap dalam bangunan, tazkirah yang dibenarkan selepas solat witir sepanjang Ramadan tidak melebihi 30 minit,” titah baginda.
Jelas DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah lagi, program qiamullail dan iktikaf pada waktu malam di masjid dan surau dibenarkan dengan mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan berpandukan nasihat Jabatan Kesihatan. Tadarus al-Quran, kuliah dan kelas pengajian juga dibenarkan di masjid dan surau.

Hidangan berbuka puasa (iftar), hidangan selepas tarawih (moreh) dan hidangan sahur di masjid dan surau, dibolehkan dengan penyediaan makanan bungkus dan tidak dibenarkan jamuan secara hidangan terbuka, terutama selepas tarawih.

“Pegawai Tadbir Agama Daerah setelah berunding dan mendapat persetujuan Orang Besar Jajahan atau Pegawai Daerah boleh mengeluarkan arahan menggantung mana-mana masjid dan surau daripada kelonggaran SOP yang diperkenankan itu dan mengenakan peraturan SOP untuk tempoh tertentu sekiranya angka jangkitan COVID-19 di kawasan berkaitan dianggap kritikal.

“Semua aktiviti, pengurusan dan kesan terhadap perkara-perkara yang diperkenankan pada hari ini, dipantau dan dipersembahkan kepadanya secara berkala,” titah baginda.

Titah baginda, hasil rumusan daripada kelonggaran awal ini, akan menjadi penentu dan panduan kepada aktiviti yang akan diperkenankan untuk menyambut hari raya akan baginda umumkan pada waktu yang sesuai, setelah berpuas hati bahawa risiko jangkitan berjaya diminimumkan dan dapat dibendung secara berkesan.

“Beta memahami harapan rakyat, namun rakyat perlulah mengamalkan budaya berakit-rakit dahulu, berenang-renang ke tepian. Bersyukurlah dengan apa yang telah dibenarkan ketika ini, yang jauh lebih baik daripada apa yang dilalui dalam dua Ramadan yang lalu.

“Rakyat sewajarnya bersyukur dengan pelangi harapan yang terlukis di kaki langit. Semoga pelangi harapan ini akan disusuli dengan pancaran sinar yang lebih terang menjelang Syawal nanti, agar Aidilfitri akan dapat disambut dalam suasana yang lebih meriah,” titah baginda.

Dalam perkembangan sama, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin maklum mengenai kadar peratusan rakyat negeri Perak yang menerima suntikan penggalak masih rendah, terutama dalam kalangan penduduk di luar bandar dan dalam kalangan umat Islam.

“Orang Besar Jajahan dan Pegawai Tadbir Agama Daerah berperanan aktif menyedarkan rakyat di luar bandar mengenai kepentingan ditingkatkan daya tahan tubuh atau imuniti untuk menangani wabak COVID-19.

“Di mana sesuai, aktiviti suntikan boleh dilakukan di pekarangan masjid dan surau,” titah baginda.

Artikel/Berita Terkini

FASA PERALIHAN MONSUN

FASA PERALIHAN MONSUN Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah, hal ini susulan permulaan fasa peralihan monsun …
Maklumat Lanjut

KERAJAAN PERKENAL SKIM INSENTIF SOLARIS GALAK PEMASANGAN SISTEM SOLAR PV DI KEDIAMAN MELALUI PROGRAM NEM

KERAJAAN PERKENAL SKIM INSENTIF SOLARIS GALAK PEMASANGAN SISTEM SOLAR PV DI KEDIAMAN MELALUI PROGRAM NEM Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan …
Maklumat Lanjut

MESYUARAT JAWATANKUASA KERJA KESELAMATAN NEGERI (JKKN) NEGERI MELAKA BIL 1/2024

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri …
Maklumat Lanjut