PULAU PINANG, 15 Februari 2022 – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengenal pasti beberapa langkah mitigasi jangka panjang dan jangka pendek dalam usaha mengatasi masalah banjir di seluruh negara.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata kepada pemberita dalam Majlis Penyerahan Rumah Pam Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Teluk Kumbar pada 12 Februari 2022 lalu, setakat ini pihaknya telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang berlaku banjir dengan cadangan pembinaan projek RTB dalam masa terdekat.
Menurut beliau, berdasarkan pasca banjir baru-baru ini, KASA telah diminta oleh Kerajaan untuk mengadakan perbincangan dan kajian bagi langkah-langkah mitigasi jangka panjang serta pendek. Justeru dapatan awal pihak KASA ialah RTB dan rumah pam di kawasan kerap banjir.
Turut dicadangkan pembinaan takungan air atau kota takungan pinggiran sungai, pembangunan kawasan penempatan berdaya tahan banjir seperti sponge city di kawasan perumahan baharu dan memperkasa sistem amaran awal supaya tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa dan penduduk.
Projek RTB Teluk Kumbar siap sepenuhnya pada 10 Disember 2021 lalu membabitkan kos RM 10 juta dan memberi manfaat kepada 21,800 pendidik di situ melibatkan kawasan perlindungan banjir tujuh (7) kilometer persegi.
Terdahulu dalam ucapan beliau, Kerajaan Pusat menyalurkan RM150 juta bagi tujuan pelaksaaan RTB Sungai Pinang dengan projek itu bermula pada Jun ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang empat (4) tahun lagi.
Projek seluas 52 kilometer persegi itu akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 penduduk di kawasan berkenaan yang sebelum ini kawasan perumahan mereka kerap dilanda banjir termasuk banjir kilat jika berlakunya hujan lebat.
Sumber berita dan gambar :
#KeluargaMalaysia