MASYARAKAT umum biasanya akan bertanya apakah sebenarnya data peribadi? Mengapa data peribadi perlu dilindungi? Apakah Akta yang terlibat dalam pelindungan data peribadi?
Terdapat sebuah Jabatan yang berperanan memastikan pematuhan AKTA PERLINDUNGAN DATA PERIBADI 2010 melalui peningkatan kesedaran/promosi, amalan-nasihat yang baik dan memberikan nasihat umum dan bimbingan serta menjalankan penguatkuasaan data iaitu Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia (JPDP) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Fokus utama JPDP adalah mengawal selia pemprosesan data peribadi seseorang individu oleh pengguna data agar ia digunakan dengan cara yang penuh berintegriti, selamat dan tidak disalahgunakan. Manakala secara objektif operasi JPDP adalah bertanggungjawab memastikan semua pengguna data peribadi dalam transaksi komersial mematuhi undang-undang perlindungan data peribadi melalui pelaksanaan penguatkuasaan yang perlu bagi mengelakkan penyalahgunaan data peribadi.
7 Prinsip Perlindungan Data Peribadi yang wajib dipatuhi di bawah s. 5(1) dalam Akta ini demi menjaga keutuhan data peribadi:
- Pertama – Prinsip Am di mana seseorang pengguna tidak dibenarkan memproses data peribadi seseorang lain tanpa kebenarannya. Pengertian proses di sini harus dimengertikan sebagai mengendalikan data melalui cara atau kaedah automatis atau pengkomputeran atau apa-apa proses lain
- Kedua – mesti mematuhi Prinsip Notis dan Pilihan di mana makluman dan tujuan awalan dimaklumkan kepada subjek data berkenaan
- Ketiga – ialah Prinsip Penzahiran tujuan data peribadi seseorang subjek itu demi mengenal pasti maksud yang baginya data peribadi itu hendak dizahirkan.
- Keempat – Prinsip Keselamatan – apabila memproses data peribadi mana-mana subjek, mengambil langkah supaya data tersebut selamat, tidak diubahsuai, disalahguna atau diberikan kepada pihak-pihak yang tidak berkenaan.
- Kelima – Prinsip Penyimpanan: sesuatu data peribadi itu tidak dibenarkan disimpan di dalam sesuatu pemprosesan lebih daripada had masa yang diperlukan
- Keenam – Prinsip Integriti Data – setiap data peribadi dipastikan supaya tepat, lengkap, tidak mengelirukan dan terkini menepati maksud sesuatu data itu disimpan dan diproses.
- Ketujuh – Prinsip Akses: seseorang hendaklah diberi hak akses kepada data peribadinya yang dipegang oleh seseorang pengguna data dan juga boleh membetulkan datanya itu supaya terkini.
Oleh yang demikian, rakyat Malaysia khususnya perlu menyedari hak-hak mereka mengikut prinsip-prinsip yang terdapat di dalam Akta ini.
Orang ramai boleh mengemukakan sebarang aduan yang berkaitan APDP 2010 (Seksyen 709) sekiranya merasakan sebuah organisasi atau seseorang telah melanggar salah satu daripada 7 Prinsip Perlindungan Data Peribadi.
Sebarang aduan awam dan pertanyaan sila kemukakan kepada:-
Alamat Surat Menyurat:
Ketua Pengarah
Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia
Aras 6, Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia
Lot 4G9, Persiaran Perdana
Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62100 Putrajaya
Tel: 03 8911 5000/7927/7906/7965
Fax: 03 8911 7959
Aduan Awam:
aduan@pdp.gov.my
Sistem iSPAAA KPKK
http://kkmm.bpa.jpm.my/eApps/system/index.do
Sehubungan itu, jangan sewenang-wenangnya memberikan maklumat peribadi seperti nombor mykad dan nombor akaun bank anda. Sentiasa peka akan perbuatan anda.
Sumber berita:
Laman Rasmi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)
Sumber infografik:
Kementerian Kewangan Malaysia
#KeluargaMalaysia