PELANCONG RAMAI, PENIAGA CENDERAMATA SENANG HATI

 

BANDAR HILIR 2 Feb – ‘Kebanjiran’ pelancong ke Melaka terutamanya di kawasan tumpuan nyata melegakan peniaga kraftangan dan cenderamata.

Selepas melalui tempoh sukar susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini mereka mula mendapat rentak dengan kehadiran pelancong.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati orang ramai bukan hanya menyerbu lokasi tumpuan Menara Taming Sari, Kota A Famosa dan Bangunan Merah tetapi mereka turut singgah ke gerai jualan untuk membeli topi, baju serta cenderamata.

Menurut peniaga Muhammad Helmi Abd Mutalib, 23, berkata, kehadiran orang luar datang melancong dan bercuti ke Melaka nyata memberi harapan kepada peniaga untuk kembali bernafas.

Katanya, akibat daripada pelaksanaan PKP sebelum ini ada juga beberapa peniaga yang terkesan sehingga terpaksa menutup peniagaan.

PENIAGA Muhammad Helmi Abd Mutalib, menyusun barang jualan di gerainya.

“Alhamdulillah dengan kehadiran pelancong, walaupun tidak seperti sebelum ini tetapi syukur ada rezeki untuk kami.

“Apabila waktu perayaan begini orang ramai kembali bercuti kerana kami peniaga memang mengharapkan pelancong dari luar,” katanya.

Menurut peniaga muda itu lagi, walaupun orang ramai sudah bebas bercuti namun dia berharap agar masing-masing menjaga dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan adanya PKP sekali lagi.

Seorang lagi peniaga, Muhammad Ismail, 33, berkata, berbanding cuti sekolah hujung tahun lalu, cuti sambutan Tahun Baharu Cina kali ini menyaksikan lebih ramai pelancong datang berkunjung ke Melaka.

MELAKA menjadi tumpuan pelancong bersempena cuti Tahun Baharu Cina.

“Kalau cakap tidak okay tipulah, berniaga waktu ini boleh untuk cari makan dan tampung sikit-sikit yang sebelum ini terjejas.

“Untuk tiga, empat hari ini memang ramai tetapi tidaklah semua singgah membeli, ada juga yang lihat sahaja tetapi tidak mengapa, lihat orang ramai kita pun senang hati,” katanya.

Sumber : Melaka Hari Ini

Artikel/Berita Terkini

‘SETIAP SEN DISALUR AMANAH DARIPADA RAKYAT’ – AMINUDDIN

Pengerusi dan seluruh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diingatkan supaya berintegriti dalam pengurusan dana kerajaan. Menteri Besar Negeri Sembilan, …
Maklumat Lanjut

KPDN NEGERI SEMBILAN GEMPUR 25 PREMIS JUALAN LANGSUNG

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan telah menjalankan pemeriksaan terhadap 25 premis jualan langsung menerusi …
Maklumat Lanjut

BIARKAN PROSES UNDANG-UNDANG BERJALAN: HAJIJI

HAJIJI KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya isu membabitkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berdepan pertuduhan rasuah kepada …
Maklumat Lanjut