KESELAMATAN NEGARA TANGGUNGJAWAB BERSAMA – PROJEK PEMASANGAN TUGU BENDERA DI PULAU-PULAU MILIK NEGARA

Mendokong penuh aspirasi Dasar Keselamatan Negara yang berfalsafahkan Konsep Keselamatan Menyeluruh dengan slogan “Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama”, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memandang serius dan prihatin dengan ancaman-ancaman yang mampu menganggu gugat kestabilan dan kedaulatan negara. Mutakhir ini, pasukan keselamatan negara terpaksa berhadapan dengan cabaran pencerobohan oleh pendatang tanpa izin (PATI) dan juga pihak-pihak tertentu, yang berlaku di sekitar perairan dan sempadan negara.

Insiden pencerobohan yang merupakan salah satu daripada ancaman kepada kedaulatan negara ini sentiasa dalam pemantauan dan perhatian MKN. Jika pencerobohan oleh PATI dengan mudah dapat dipatahkan oleh pasukan keselamatan Malaysia, berbeza pula dengan pencerobohan oleh tentera asing di kawasan perairan negara khususnya di sekitar 114 buah pulau-pulau yang tidak berpenghuni di dalam Peta Baharu Malaysia 1979.

Menurut Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia serta Pusat Hidrogradi Kebangsaan, negara memiliki sekitar 879 pulau dengan 418 terletak di Semenanjung Malaysia manakala 394 pulau ini adalah sebahagian daripada negeri Sabah. Untuk rekod, pulau-pulau di Malaysia dibahagikan kepada empat kategori – pembangunan, resort, taman laut dan tidak berpenghuni. Daripada 879 pulau yang terdapat di negara ini, 535 daripadanya tidak berpenghuni kerana ketiadaan bekalan air. Malaysia turut mempunyai 510 ciri geografi luar pesisir yang tidak dikategorikan sebagai pulau, seperti ridge, sandbanks, atau batu.

Pada tahun 2013, kerajaan melalui Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah melaksanakan projek Marine Geodetic Infrastructure in Malaysian Water (MAGIC) yang membantu menentukan wilayah dan pemilikan zon ekonomi eksklusif negara seterusnya mengelakkan kejadian pencerobohan kawasan. Sebanyak RM24 juta telah disalurkan untuk projek MAGIC membabitkan pembinaan monumen sebagai penanda pemilikan termasuklah stesen kekal aktif atau ‘Continously Operating Reference Stations (CORS) yang berperanan mengumpulkan data daripada satelit bagi tujuan pemetaan. Projek MAGIC telah melalui 3 fasa iaitu Fasa I pada 2013 hingga 2014, Fasa II pada 2015 dan Fasa III pada 2017. Sejumlah 26 titik marin bagi infrastruktur rangkaian geodetik marin (MGN) telah dibina sepanjang 2013 sehingga 2017.

Bukan itu sahaja, sejak 2015 lagi, kerajaan Persekutuan telahpun mengarahkan supaya kerajaan negeri turut segera mewarta dan menamakan pulau tidak berpenghuni selain terumbu karang dan kepulauan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Kerajaan negeri turut digesa untuk meletakkan batu sempadan atau penanda sempadan untuk mewujudkan pemilikan dan mengelakkan kemungkinan berlaku pencerobohan warga asing. Arahan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri itu terkandung di dalam ‘Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan Fizikal Pulau dan Taman Laut’ – versi arahan yang lebih ketat diperkenalkan pada 1996.

Walaupun terdapat usaha daripada kerajaan negeri untuk berbuat demikian, namun masih terdapat lagi pulau-pulau tidak berpenghuni yang masih belum diletakkan sebarang monumen, batu sempadan mahupun penanda sempadan. Oleh hal yang demikian, pada tahun 2021 ini dengan keadaan maritim yang tidak menentu dan mencabar telah mencetuskan idea dan inspirasi kepada MKN untuk menzahirkan kedaulatan dan pemilikan Malaysia ke atas pulau-pulau ini dengan cara mengibarkan jalur gemilang Malaysia bagi mengelakkan tuntutan oleh pihak-pihak tertentu ke atas kawasan berkenaan. Pemilihan pulau-pulau adalah berdasarkan kriteria kedudukan paling terkeluar (outermost) dan berada di sempadan negara atau di Laut China Selatan berdasarkan sumber rujukan dari Kumpulan Kerja Nama Pulau dan Entiti Geografi (KKNPEG).

Sekitar tahun 2019, akhbar-akhbar negara melaporkan gugusan pulau tidak berpenghuni di sepanjang Selat Melaka dan perairan Sabah dipercayai menjadi hentian sementara atau pit stop sindiket penyeludupan migran dari Indonesia dan Filipina sebelum memasuki Malaysia. Antara pulau yang menjadi pilihan sindiket itu adalah Pulau Nangka, Pulau Udan, Pulau Lalang, Pulau Serimbun dan Pulau Hanyut di Selat Melaka manakala di perairan Johor pula Pulau Lima serta Pulau Banggi (Kudat) dan Turtle Island (Sandakan) di perairan Sabah.

Antara pulau yang menjadi pilihan sindiket itu adalah Pulau Nangka, Pulau Udan, Pulau Lalang, Pulau Serimbun dan Pulau Hanyut di Selat Melaka manakala di perairan Johor pula Pulau Lima serta Pulau Banggi (Kudat) dan Turtle Island (Sandakan) di perairan Sabah.

Bagi mengelakkan berlakunya insiden pencerobohan yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara, MKN telah mencadangkan satu Projek Pemasangan Bendera di Pulau-pulau Milik Negara dengan kerjasama daripada agensi yang diselaraskan bersama-sama projek MAGIC JUPEM. Pelaksanaan projek perlu dilakukan dengan strategik maka MKN mencadangkan supaya pulau-pulau ini dibahagikan mengikut zon melalui kontraktor yang dilantik iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Timur, Zon Sabah dan Zon Sabah.

Pelaksanaan projek ini akan menelan sejumlah peruntukan yang telah diluluskan di bawah Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia kesebelas (RMK11) bagi tahun 2020. Projek pemasangan tugu/bendera turut melibatkan agensi di peringkat negeri antaranya Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Pejabat Tanah dan Galian Negeri serta Pejabat Kerajaan Negeri.

 

Artikel/Berita Terkini

MCMC SEDANG MENGESAN INDIVIDU TERLIBAT DALAM PENYALAHGUNAAN TEKNOLOGI AI YANG MENYUNTING GAMBAR SEHINGGA MENGAIBKAN PENGGUNA MEDIA SOSIAL

MCMC SEDANG MENGESAN INDIVIDU TERLIBAT DALAM PENYALAHGUNAAN TEKNOLOGI AI YANG MENYUNTING GAMBAR SEHINGGA MENGAIBKAN PENGGUNA MEDIA SOSIAL Suruhanjaya Komunikasi dan …
Maklumat Lanjut

PAHANG SALUR RM1.2 JUTA UNTUK PROGRAM CELIK AL-QURAN OKU PENGLIHATAN

KUANTAN: Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM1.2 juta melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi Program Celik al-Quran Braille untuk golongan orang …
Maklumat Lanjut

PENTINGKAH KEAMANAN DAN KEDAMAIAN DALAM SESEBUAH NEGARA?

Saban hari, persoalan tersebut sering bermain di fikiran setiap generasi muda yang baru hendak melangkah ke alam dewasa. Di mana …
Maklumat Lanjut