PROGRAM PENCAHAYAAN MALAM PUTRAJAYA

PUTRAJAYA: Pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan bermandi cahaya pada setiap malam bermula Sabtu lalu sehingga 16 September ini sebagai simbolik meraikan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2021 dalam norma baharu.

Program Pencahayaan Malam Putrajaya yang berwarna merah, biru dan kuning melambangkan bendera Malaysia dipancarkan di bahagian luaran bangunan, jambatan, air pancut dan struktur bangunan di pusat kerajaan ini.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, berkata Bangunan Perdana Putra, Jambatan Seri Saujana dan Jambatan Seri Wawasan adalah antara mercu tanda di Putrajaya yang akan bercahaya dalam suasana perayaan pada setiap malam.

Beliau berkata, program pencahayaan bahagian luar ini membabitkan tiga kategori iaitu jenis diod pemancar cahaya (LED) bertukar warna, lampu luaran ke perayaan (putih hangat) dan pencahayaan dalaman.

Katanya, antara bangunan yang terbabit dalam kategoriLED bertukar warna adalah Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Hotel Zenith, Jambatan Seri Wawasan dan Jambatan Seri Saujana serta air pancut Putrajaya.

“Bagi lampu ‘external to festive’ (putih hangat) dan pencahayaan dalaman yang terbabit pula adalah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Kementerian Kewangan (MOF), Menara Usahawan, Istana Kehakiman, Perbadanan Putrajaya dan lain-lain,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 dengan konsep baharu iaitu melalui penyampaian Amanat Perdana Menteri secara maya selaras sambutan dalam suasana norma baharu.

Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, Malaysia Prihatin, kekal seperti tahun lalu bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan rakyat dan kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19.

 

Rakyat Malaysia disaran mengibarkan Jalur Gemilang sebagai budaya semangat merdeka sepanjang masa dan sambutan ini juga sebahagian usaha murni bagi memaparkan solidariti masyarakat di negara ini.

Hari Kebangsaan akan disambut pada 31 Ogos ini manakala Hari Malaysia pada 16 September depan.

Muhammad Azmi berkata, PPj selesai memasang 8,629 unit Jalur Gemilang pada 2 Ogos lalu bagi program pengindahan dan pengimarahan pusat kerajaan ini.

Katanya, program pencahayaan ini bertujuan mengetengahkan suasana pada waktu malam supaya pusat kerajaan ini sentiasa terang bercahaya sepanjang sambutan hari bermakna kepada negara ini.

Katanya, sebanyak 2,235 unit Jalur Gemilang dipasang pada lampu jalan, jambatan dan kompleks milik PPj, manakala 4,000 unit lagi diedarkan kepada penduduk melalui Majlis Perwakilan Penduduk, Ketua Blok dan komuniti Putrajaya untuk dipasang di kediaman masing-masing.

“Bagi pengindahan dan pengimarahan Putrajaya sempena sambutan ini, sebanyak 2,390 unit Jalur Gemilang turut dipasang di taman awam.

“Kita juga mengadakan empat unit papan iklan bagi memaparkan visual berkaitan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dan mesej berkaitan ‘memerdekakan’ Malaysia daripada COVID-19.

“Selain itu, PPj turut memasang struktur papan iklan sementara bersaiz besar di 15 lokasi di sekitar Putrajaya dan ‘Giant Bunting’ di gerbang PPJ,” katanya.

 

SUMBER: BH ONLINE https://www.bharian.com.my/

 

 

Artikel/Berita Terkini

TEKAN PEMATUHAN GARIS PANDUAN DAN ASPEK KESELAMATAN PEMBINAAN MENARA TELEKOMUNIKASI

KUANTAN, 25 APRIL 2024 : Keselamatan menara dan struktur sistem pemancar telekomunikasi adalah penting di mana pembinaannya perlu mengikut spesifikasi …
Maklumat Lanjut

DUA AHLI ‘GENG BEAN’ AKTIF CURI MOTOSIKAL DI KL, JUAL DI SEREMBAN TUMPAS

Polis menumpaskan ‘Geng Bean’ yang aktif mencuri motosikal dengan penahanan dua lelaki dalam serbuan berasingan sekitar ibu kota dan Seremban, …
Maklumat Lanjut

PROGRAM BUDAYA TIGA SERUMPUN 2024 TERUS PERKUKUH TIGA NEGARA

Program Budaya Tiga Serumpun 2024 menjadi platform memartabatkan Bahasa Melayu serta mengukuhkan persaudaraan antara tiga buah negara serumpun iaitu Malaysia, …
Maklumat Lanjut