LESTARIKAN WILAYAH PERSEKUTUAN BUMI MEKAR HIJAU

PERTAMBAHAN populasi penduduk di Malaysia daripada 32.59 juta pada suku keempat 2019 kepada 32.73 juta orang dalam tempoh yang sama tahun lalu, memberi kesan besar terhadap perubahan iklim negara pada masa ini. Malah, perubahan drastik itu menyebabkan cuaca tidak menentu dan menjadi semakin panas.

Justeru, mengorak langkah bersama Kempen Penanaman 100 juta Pokok (2021-2025) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin awal tahun lalu, Wilayah Persekutuan
menyasarkan penanaman 1 juta pokok di seluruh kawasannya menerusi inisiatif Wilayah Prihatin, Cakna Kehijauan.

Ini kerana, kempen bertemakan ‘Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’ yang  diterajui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) itu juga dapat meningkatkan kualiti
hidup masyarakat.

Dalam usaha memastikan program itu dijayakan dengan sebaiknya, setiap pokok yang ditanam akan didaftarkan menerusi Aplikasi Penghijauan Hijau.

Selain itu, penanaman pokok juga perlu dilakukan dengan konsep tertentu bagi mengelakkan kesan sampingan dan pada masa sama mewujudkan landskap yang cantik sebagaimana konsep Garden City serta Green City di Wilayah Persekutuan sekali gus merealisasikan bandar rendah karbon (Low Carbon City).

Pada masa sama, ia bukan hanya tertumpu kepada penanaman semata-mata berikutan pelbagai kriteria perlu diambil kira seperti yang dinyatakan beberapa agensi berwibawa di bawah.

WUJUDKAN IMEJ LOKALITI DALAM TEMPOH 10 TAHUN

KEINDAHAN landskap hasil tanaman 1 juta pokok pada masa ini, hanya dapat dilihat dalam tempoh 10 tahun mendatang.

Justeru itu, Jabatan Landskap Negara (JLN) menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu persendirian yang berhasrat menjayakan penanaman sejuta pokok untuk meneliti konsep mahupun tema yang diinginkan.

Jelas Ketua Pengarahnya, Rotina Mohd Daik, hasrat yang murni untuk mengurangkan kesan karbon itu boleh memberi kesan buruk jika penanaman tidak dirancang atau berlandaskan konsep tertentu.

“Sekarang tidak nampak kesan yang kita ingin wujudkan sama ada dapat menarik perhatian  pelancong atau sebaliknya. Ia dilihat 10 tahun akan datang.

“Oleh itu, kesesuaian pokok yang hendak ditanam dan kualiti yang ingin diwujudkan sangat penting pada masa ini. Namun, kebiasaannya PBT mempunyai pelan induk mereka sendiri,” katanya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini. Dalam pada itu, Rotina memaklumkan, pemilihan tumbuhan juga perlu disesuaikan dengan imej bandar antaranya ruangan tanaman, jenis pokok dan sebagainya.

Mengambil contoh pohon yang ditanam di pinggiran jalan sehingga tular di media sosial baru-baru ini, ujar beliau, pokok tersebut boleh menjadi daya tarikan jika dasar reka bentuk awal dan
penggunaan spesis itu dirancang sebaiknya.

Jelas beliau, lokasi setempat perlu menjadi faktor pemilihan tumbuhan yang mana jika fokus untuk teduhan pejalan kaki, spesis bersesuaian perlu dipilih supaya ruangan itu mencapai  objektif di samping meneliti kualiti tanah serta ruang.

Menurut beliau, selain menanam tumbuhan berbunga, JLN turut mencadangkan pokok yang mempunyai haruman atau daun berwarna, supaya ia dapat memberikan ciri-ciri istimewa kepada kawasan setempat. Mengulas tentang penyelenggaraan, beliau berkata, pihaknya sudah mengeluarkan manual untuk penyelenggaraan dan produktiviti tumbuhan yang mana ia penting supaya imej sesuatu kawasan dapat dikekalkan.

“Imej yang terwujud itu akan membantu menarik pelancong dari dalam dan luar negara. Malah penduduk setempat sendiri akan menyukainya,” katanya yang turut mengucap tahniah kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana berjaya membangunkan River Of Live dengan memberi penekanan kepada sungai. Berkata lanjut, Rotina berharap, taman-taman sedia ada dipulihara supaya sentiasa menjadi tarikan awam selain mahu ia ditingkatkan dan tidak hanya menjadi kawasan rekreasi.

Katanya, taman rekreasi seperti Taman Botani Perdana boleh dijadikan sebagai pusat pembelajaran atau penyelidikan dan kajian tumbuh-tumbuhan tropika yang turut menarik penyelidik antarabangsa. Manakala di Permaisuri, tambahnya, taman tersebut sudah mempunyai reka bentuk serta imej tersendiri yang boleh dinaik-taraf supaya lebih indah termasuk menanam pokok berbunga.

Sumber: Wilayahku

 

Artikel/Berita Terkini

FASA PERALIHAN MONSUN

FASA PERALIHAN MONSUN Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah, hal ini susulan permulaan fasa peralihan monsun …
Maklumat Lanjut

KERAJAAN PERKENAL SKIM INSENTIF SOLARIS GALAK PEMASANGAN SISTEM SOLAR PV DI KEDIAMAN MELALUI PROGRAM NEM

KERAJAAN PERKENAL SKIM INSENTIF SOLARIS GALAK PEMASANGAN SISTEM SOLAR PV DI KEDIAMAN MELALUI PROGRAM NEM Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan …
Maklumat Lanjut

MESYUARAT JAWATANKUASA KERJA KESELAMATAN NEGERI (JKKN) NEGERI MELAKA BIL 1/2024

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri …
Maklumat Lanjut