#BELANJAWAN2021 BINA SEMULA KEHIDUPAN DI TIGA WILAYAH

PANDEMIK COVID-19 yang melanda negara dan memasuki gelombang ketiga nyata membawa kesengsaraan pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara.

Melalui penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari fasa pertama sehingga kini, banyak pihak terutama warga kota berhadapan dengan masalah dalam meneruskan kelangsungan hidup ekoran penguncupan ekonomi yang ketara.

Kerajaan melalui Kementerian Kewangan telahpun membentangkan belanjawan negara yang bertemakan Teguh Kita, Menang Bersama dengan perbelanjaan terbesar negara membabitkan kira-kira RM322.5 bilion yang terdiri daripada RM236.5 bilion (73.3%) yang akan disalurkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM69 billion (21.4%) bagi perbelanjaan pembangunan manakala baki RM17 bilion (5.3%) ialah untuk Kumpulan Wang COVID-19, kategori baru.

Menerusi belanjawan yang dibentangkan itu, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah menerima peruntukan sebanyak RM956.8 juta yang telah diberikan melalui Belanjawan 2021 dengan tumpuan untuk kesejahteraan bandar dan penduduk di tiga wilayahnya, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang masing-masing mempunyai pihak berkuasa tempatan sendiri.

Menurut Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, pihak KWP bertanggungjawab untuk melaksananakan dasar dan pembangunan dalam tiga wilayah berasingan yang melibatkan tiga pihak berkuasa tempatan.

“Sebagai pihak berkuasa tempatan, banyak program DBKL tidak lagi boleh bergantung kepada pendanaan langsung dari kerajaan, perlu membuat pengubahsuaian bagi membolehkan sumber diagihkan kepada keperluan rakyat terutama yang terkesan wabak COVID-19 dan golongan yang berpendapatan rendah.”

“Pembangunan komuniti dan kesejahteraan bandar yang melibatkan peruntukan RM148.8 juta akan diurus sebaik mungkin, terutama dalam menambah baik kemudahan di kawasan yang telah dikenal pasti, antaranya Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Kuala Lumpur.

“Selain itu, pembangunan yang diperuntukkan kira-kira RM400 juta di bawah program River of Life juga akan diteliti sekali lagi supaya peruntukan dapat diberi keutamaan kepada skop-skop tertentu, kerana kebanyakan peruntukan itu tertumpu kepada projek pembentungan serta baik pulih di sepanjang jajaran Sungai Klang-Sungai Gombak,” katanya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, peruntukan untuk Wilayah Persekutuan tidak hanya melalui peruntukan KWP sebaliknya ia turut diperolehi daripada beberapa kementerian lain.

“Sebagai contoh, sekiranya ia peruntukan melibatkan pembinaan jajaran Transit Aliran Massa (MRT) ia sebahagian daripada peruntukan Kementerian Pengangkutan.

“Dan sekiranya melibatkan penyelenggaraan baik pulih infrastruktur di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, ia merupakan peruntukan daripada Kementerian Kerja Raya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar berkata, terdapat dua elemen dalam peruntukan tahunan iaitu peruntukan mengurus dan peruntukan pembangunan.

“Untuk peruntukan mengurus, KWP telah menerima RM256.3 juta peruntukan mengurus yang digunakan untuk mengurus operasi KWP dan agensi di bawahnya.

“Selain itu, terdapat juga elemen untuk sosio ekonomi yang digunakan dalam peruntukan mengurus antaranya adalah memberikan geran kepada pihak Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) untuk menjalankan program untuk komuniti,” katanya.

Katanya, melalui peruntukan yang sama, ia turut mengagihkan peruntukan tersebut kepada agensi di bawah KWP seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan (PL) dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Pejabat Tanah Galian (PTG) Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, KWP juga menerima peruntukan pembangunan pada tahun ini berjumlah RM700.5 juta yang digunakan untuk beberapa elemen demi kesejahteraan masyarakat.

“Antara elemen peruntukan pembangunan adalah penyelenggaraan jalan, sungai, pembinaan jambatan, kompleks perniagaan pasar, pusat rekreasi, penyelenggaraan dan pentadbiran Putrajaya.

“Selain itu, ia juga turut mempunyai peruntukan untuk usahawan bumiputera bagi meningkatkan taraf kehidupan warga kota,” katanya.

Tambah Rosida, KWP turut mempunyai peruntukan pemberian khas Wilayah Persekutuan sebanyak RM29 juta yang merupakan luar daripada peruntukan yang termaktub dalam belanjawan yang dibentangkan barubaru ini.

“Peruntukan tersebut akan digunakan untuk menampung program-program komuniti lain yang terkesan oleh COVID-19 atau mana-mana program tidak mencukupi peruntukan yang diluluskan,” katanya.

Menurut Rosida, beberapa projek yang melibatkan kos yang besar tidak termasuk di dalam belanjawan tahun ini atas faktor-faktor tertentu.

“Sebagai contoh, projek pembinaan jambatan yang menghubungkan antara Labuan dan Menumbuk, Sabah tidak dimasukkan kerana membabitkan pihak swasta di dalam projek tersebut dan statusnya masih di peringkat perancangan.

“Selain itu, pembinaan Monorel dan pembangunan di Kampung Baru turut diberi perhatian oleh KWP namun projek tersebut akan melibatkan usaha sama dengan syarikat swasta,” katanya.

Rosida turut menjelaskan bahawa elemen peruntukan kerajaan tidak dimasukkan kerana kebanyakan projek tersebut masih berada di peringkat perancangan.

“Apabila sesuatu projek tiba di fasa RFP, usaha sama itu mungkin tidak menggunakan peruntukan kerajaan namun akan melibatkan kepentingan yang lain dalam projek berkenaan bagi membolehkan agensi swasta menanggung dan menjalankan projek tersebut.” katanya.

Ujar Rosida, untuk memerangi wabak COVID-19, pihaknya turut menyahut seruan  menterinya dengan memperuntukkan sebahagian daripada peruntukan untuk kerja-kerja sanitasi awam.

“Sekiranya pandemik berterusan, kita memang telah membuat keputusan untuk  menggunakan peruntukan dalaman bagi operasi tersebut.

“Dalam pemberian khas Wilayah Persekutuan yang telah diluluskan ini, pihak KWP akan memberikan keutamaan bagi menampung perbelanjaan proses sanitasi awam di seluruh kawasan Wilayah Persekutuan dan ia akan dinilai dari semasa ke semasa,” katanya.

Sumber: Wilayahku

Artikel/Berita Terkini

Operasi Bersepadu Pematuhan SOP PKPB Daerah Lenggong

Operasi Bersepadu Pematuhan SOP Covid 19 (PKPB) Daerah Lenggong Tarikh :26 November 2020 ( Khamis) Masa: 9.00 pagi – 12.30 …
Maklumat Lanjut

PEMANTAUAN PEMATUHAN SOP PKPB DI PERAK TENGAH

PEMANTAUAN PEMATUHAN PKPB DI DAERAH PERAK TENGAH Tarikh / Masa : – 25/11/2020 – 8.00AM- 10.00PM Agensi Terlibat : PDRM …
Maklumat Lanjut

KUNJUNGAN HORMAT PENGURUSAN FAS

KUNJUNGAN HORMAT PENGURUSAN FOOTBALL ASSOCIATION OF SELANGOR (FAS) KE MKN SELANGOR SHAH ALAM – Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor telah …
Maklumat Lanjut