Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN, JPM) dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. telah mengadakan Bengkel dan Tabletop Exercise (TTX) di Akademi Pendidikan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek pada 7 dan 8 Disember 2017, diikuti dengan Latihamal EX. KLIA2-2017 yang telah dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 9 Disember 2017.
Program ini bertujuan untuk menguji Pelan Tindakan Kecemasan (Emergency Response Plan-ERP) Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. selaku peneraju keselamatan di KLIA2 serta kesiapsiagaan dan tindakbalas Kementerian, Jabatan dan Agensi berkaitan di bawah Arahan MKN No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara dan Arahan MKN No. 18: Pengurusan dan Pengendalian Krisis Keganasan (2002) berdasarkan senario keganasan yang mungkin berlaku di KLIA2.
Latihamal EX. KLIA2-2017 mempunyai tiga (3) frame insiden yang melibatkan insiden chemical, biological, nuclear & radioactive (CBRN), insiden tebusan dan insiden letupan bertujuan untuk melihat tindakbalas Kementerian, Jabatan dan Agensi berkaitan berdasarkan Perintah Tetap Operasi (PTO) masing-masing. 26 Jabatan/Agensi melibatkan 798 orang terlibat dalam program ini.



