Pertandingan Perarakan Bot Merdeka Terengganu 2025 berlangsung meriah di Sungai Terengganu dengan penyertaan 91 kenderaan air dan 484 peserta melibatkan agensi kerajaan, nelayan, pelancong serta jet ski. Perarakan bermula dari empat jeti utama iaitu Pulau Kekabu di Marang, Pengkalan Pok Awang di Kuala Terengganu, Jeti Kampung Batin di Kuala Nerus dan Pengkalan Tanjung Gelam di Setiu sebelum menuju ke Basin Muara Sungai Terengganu berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang menjadi lokasi pelepasan rasmi, menarik lebih 10,000 pengunjung.
Acara anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) ini bertemakan “Malaysia MADANI Rakyat Disantuni”, menyatukan elemen seni, budaya dan patriotisme. Hadiah wang tunai turut ditawarkan kepada pemenang setiap kategori.
Perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris yang menegaskan penganjuran ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kebangsaan tetapi juga melambangkan kesatuan rakyat pelbagai latar. Selain memperlihatkan kreativiti peserta, program ini turut mengangkat identiti Terengganu sebagai destinasi pelancongan berasaskan sungai dan budaya.
Sumber: TRDI



