Ayer Keroh – Kerajaan Negeri mengagihkan set dam aji kepada 316 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) negeri ini sebagai usaha mengangkat permainan warisan tersebut sebagai lambang identiti kebanggaan Melaka.
“Sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Melaka berbesar hati mengagihkan set Dam Aji kepada 316 JPKK di seluruh negeri ini dengan setiap JAPERUN menerima agihan sebanyak 20 set.
“Saya berhasrat agar setiap set Dam Aji dapat ditempatkan di kawasan yang strategik supaya ia boleh dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat.
“Usaha ini bukan sahaja mampu menghidupkan semula permainan warisan, malah menyatukan komuniti, mendidik generasi muda tentang nilai budaya, serta menjadikan dam aji sebagai lambang identiti kebanggaan Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Forum Keselamatan: Kesedaran Masyarakat Tentang Fasiliti Utiliti Peringkat Negeri Melaka Anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Penyerahan Dam Aji dan Konda Kondi Kepada JAPERUN & JPKK Negeri Melaka 2025 di Auditorium Seri Negeri, di sini, semalam.
Set Dam Aji yang diagihkan itu merupakan sumbangan Kerajaan Negeri Melaka menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka dengan kerjasama Menara Taming Sari (MTS) dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).
Pada majlis tersebut, Ab Rauf turut menyampaikan dua set konda kondi kepada setiap wakil Japerun di negeri ini sebagai usaha mengangkat kembali sukan tradisional tersebut dalam kalangan komuniti setempat.
Lebih bersejarah, set permainan Konda Kondi telah dipilih sebagai cenderamata rasmi Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) yang akan berlangsung di negeri ini pada 27 hingga 29 September depan.
Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)



