KENYATAAN: Kenyataan rasmi dikeluarkan KPM berkenaan penempatan sementara Pengetua, PK HEM dan Warden SMKA Tun Datu Mustapha ke JPN Sabah.
KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) dan semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha dipindahkan sementara ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.
KPM dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan itu akan dilaksanakan sehingga siasatan polis berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, arwah Zara Qairina Mahathir selesai.
“Keputusan ini diambil selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan Pasukan Petugas Khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengambil alih siasatan kes berkenaan.
“KPM memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilakukan secara menyeluruh, teliti dan tuntas,” menurut kenyataan itu.
KPM turut menegaskan bahawa kes ini menjadi keutamaan kementerian ketika ini dan berharap ia dapat disiasat secara telus demi keadilan untuk keluarga serta semua pihak terlibat.
Pada 16 Julai lalu, Zara ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran bangunan asrama sekolah terbabit di Papar.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE1) Kota Kinabalu sebelum disahkan meninggal dunia pada 17 Julai akibat kecederaan parah termasuk patah tulang pada kedua-dua kaki dan kegagalan fungsi otak.
Kes ini mencetuskan perhatian umum selepas timbul spekulasi kemungkinan mangsa terbabit dalam insiden buli.
Keluarga mangsa melalui pasukan peguam mengemukakan empat tuntutan rasmi kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) pada 5 Ogos, iaitu mengembalikan kertas siasatan kepada PDRM, menyerahkan kes kepada pegawai penyiasat Bukit Aman, menggali semula kubur bagi tujuan bedah siasat lengkap dan mengadakan inkues untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah.
Kubur mangsa digali semula pada 9 Ogos dan proses bedah siasat lengkap dijalankan manakala Peguam keluarga menjelaskan mereka menunggu laporan rasmi sebelum membuat sebarang kenyataan berhubung hasil bedah siasat itu.
Pada 11 Ogos, Bukit Aman menurunkan pasukan khas seramai sembilan pegawai dan anggota bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan tanpa gangguan, pasukan itu kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi menyelaraskan siasatan.
Setakat ini PDRM mengesahkan 60 saksi terdiri daripada pelajar dan guru sudah diambil keterangan dan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan khabar angin atau maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan termasuk dakwaan fitnah yang mengaitkan individu tertentu.
Sementara itu, beberapa siri perhimpunan aman dengan slogan “Justice for Zara” diadakan di beberapa lokasi di Sabah dan Kuala Lumpur sebagai tanda solidariti dan tuntutan agar siasatan diselesaikan dengan telus.
Penganjur perhimpunan menegaskan objektif mereka ialah menuntut keadilan untuk Zara dan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas jika terbukti berlaku salah laku.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



