PERASMIAN: Hajiji bersama Agil (empat kiri) dan Musa tiga kiri) semasa pelancaran pembukaan AFFIN Bank Cawangan Inanam di Plaza Kolombong hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited untuk membentuk ekonomi Sabah yang moden, berdaya saing dan inklusif melalui pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pelan pembangunan Hala Tuju SMJ adalah jelas untuk memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, sama ada di bandar mahupun di luar bandar.
Katanya, pelan pembangunan SMJ dirangka sebagai rangka kerja utama kepada pelbagai pelan pembangunan sektor.
“Komitmen kita terhadap masa depan Sabah amat jelas dalam pelan ini, yang berlandaskan tiga teras utama iaitu pertama, pertanian, perindustrian dan pelancongan; kedua, pelaburan dalam modal insan; dan ketiga pempertingkatkan hubungan dengan pendekatan hijau.
“Kita bukan sekadar membina sebuah ekonomi, tetapi sedang membina masa depan bersama, di mana manfaat kemajuan dapat dirasai di setiap daerah, termasuk di Inanam,” katanya semasa merasmikan pembukaan AFFIN Cawangan Inanam di Plaza Kolombong, di sini hari ini.
Beliau berkata, tiada ekonomi yang mampu berkembang tanpa inklusiviti kewangan. Sistem perbankan yang kukuh, mudah diakses dan inklusif adalah penting bagi membuka sepenuhnya potensi rakyat dan perniagaan.
“Di Sabah, 98 peratus daripada keseluruhan perniagaan adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang menjadi pemangkin kepada perusahaan dan pekerjaan tempatan.
“Namun, masih ramai perniagaan ini berdepan pelbagai cabaran sebenar termasuk akses kredit yang terhad, kurang kesiapsiagaan digital, dan kesukaran menyesuaikan diri dengan pasaran yang sentiasa berubah,” jelasnya.
Sehubungan itu katanya, bank seperti AFFIN boleh membantu merapatkan jurang berkenaan menerusi pembiayaan bersasar untuk sektor seperti pertanian dan eko-pelancongan.
Selain itu Hajiji berkata, ia juga dapat membantu dari segi sokongan bimbingan dan nasihat, pembiayaan khusus untuk usahawan wanita serta program literasi kewangan bagi mempersiapkan rakyat Sabah, khususnya belia, menghadapi tuntutan ekonomi masa kini.
Beliau turut percaya, setiap rakyat Sabah perlu diberi kuasa dengan alat dan sokongan kewangan untuk berkembang, menyimpan, membina dan menyumbang kepada ekonomi negeri.
“Kita sedar pembangunan yang bermakna mesti bermula dengan akses kepada modal, perkhidmatan kewangan, serta alat yang membolehkan keusahawanan dan mobiliti sosial.
“Bagi masyarakat luar bandar, perniagaan kecil dan golongan belia yang sedang menceburi ekonomi digital, ia harus menjadi pemangkin kemajuan dan membuka potensi mereka,” katanya.
Hajiji berkata, dengan pelbagai produk dan perkhidmatan perbankan yang komprehensif oleh AFFIN, Sabah sedang melangkah ke arah masyarakat yang lebih inklusif dari segi kewangan, iaitu peluang dapat dinikmati oleh semua.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kumpulan AFFIN atas pencapaian cemerlang, terutamanya memenangi ‘Fortune Southeast Asia 500’ buat tahun kedua berturut-turut.
Menurutnya, AFFIN menyambut ulang tahun ke-50 pada tahun ini, menandakan lima dekad pertumbuhan, ketahanan dan sumbangan kepada landskap kewangan negara.
“Sepanjang perjalanan ini, AFFIN menyokong keluarga, membina perniagaan dan menyumbang kepada pembangunan negara.
“Pilihan untuk memperkukuh kehadirannya di Sabah sempena ulang tahun emas ini amat bertepatan dan penuh makna. Tahniah atas pencapaian penting sempena ulang tahun ke-50 ini,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi AFFIN Bank Berhad Datuk Agil Natt dan Pengerusi AFFIN Islamic Bank Berhad Musa Abdul Malek.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online