AZMI
KUNAK: Seorang lelaki warga asing ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang wanita di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Tingkayu, di sini, Jumaat lalu.
Mayat wanita warga Filipina berusia lingkungan 40-an itu ditemui orang awam dengan kesan tetakan di bahagian tubuhnya kira-kira jam 10.26 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim, berkata pihaknya menerima maklumat awam mengenai penemuan mayat terbabit.
Katanya, sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak bersama pasukan Siasatan Khas (D9), JSJ Kontinjen Sabah digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Susulan maklumat yang diperoleh, pasukan serbuan berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 51 tahun di sebuah ladang kelapa sawit di Kunak pada jam 11.30 pagi, Sabtu lalu.
“Ketika serbuan dijalankan, suspek sedang melakukan kerja di ladang berkenaan dan cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis, namun berjaya diberkas selepas berlaku sedikit pergelutan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek turut menyembunyikan sebilah parang dan pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Semua barangan terbabit dirampas untuk membantu siasatan dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut, termasuk mengenal pasti motif pembunuhan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online