POLIS TEMBAK MATI 2 PENJENAYAH KES SAMUN, EDAR DADAH DI NILAI

Dua penjenayah bersenjata yang dipercayai terbabit dalam lebih 70 kes samun di tiga negeri mati ditembak polis di kawasan parkir bawah tanah sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kedua-dua suspek yang menaiki kereta jenis Toyota Vios sebelum itu dikejar di sekitar Nilai selepas enggan berhenti apabila dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Menurut Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, polis berbalas tembakan dengan suspek sebelum lelaki tempatan berusia 29 dan 40 tahun itu mati ditembak.

Pihaknya telah berjaya memintas satu lagi kumpulan samun yang aktif menyamun rumah, kilang, tempat pengumpulan barangan parcel J&T di sekitar Negeri Sembilan, Selangor dan Perak. Suspek berusia 40 tahun didapati mempunyai 76 rekod jenayah membabitkan keganasan dan dadah manakala seorang lagi suspek mempunyai 11 rekod.

Polis turut menemui dua senjata api iaitu sepucuk pistol separa automatik dan pistol revolver yang dipercayai digunakan suspek. Kenderaan dinaiki polis turut mengalami kerosakan akibat terkena tembakan, namun tiada anggota yang cedera.

Suspek dikatakan menyewa kondominium di situ dan menjadikannya sebagai lokasi persinggahan, malah banyak lagi lokasi lain dijadikan tempat penginapan. Selain itu, nombor plat kenderaan Toyota Vios berwarna perak yang digunakan suspek juga dipercayai akan ditukar-tukar.

Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan suspek terbabit dengan kumpulan kongsi gelap dan aktiviti pengedaran dadah berdasarkan penggunaan senjata api. Operasi memburu suspek-suspek lain akan diteruskan dan pihaknya percaya suspek yang mati ditembak merupakan antara ketua kumpulan mereka.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …