LEBIH TUJUH TAN BARANG KAWALAN TANPA PERMIT DIRAMPAS

RAMPAS: Semua barang kawalan yang dirampas bersama juragan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) rampas lebih tujuh tan barang kawalan bersubsidi tanpa permit dalam dua operasi berasingan di perairan daerah ini, Selasa lepas.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, rampasan pertama dilakukan di kedudukan 1.7 batu nautika selatan batu tiga yang membabitkan sebuah bot kargo tempatan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati bot kargo berkenaan sarat dengan muatan yang dikendalikan oleh seorang juragan tempatan berusia 32 tahun.

“Pemeriksaan ke atas muatan yang dibawa menemukan sebanyak 415 pek beras, 80 karton gula pasir, 19 kotak tepung gandum dan tujuh kotak minyak masak.

“Siasatan lanjut mendapati juragan terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk membawa semua barang kawalan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam operasi kedua pula katanya, bot peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah lagi bot kargo dalam keadaan mencurigakan memecut laju ke arah perairan Pulau Sebatik.

Menurutnya, bot peronda Maritim Malaysia kemudian mengejar, sebelum berjaya menahan bot berkenaan di kedudukan 1.6 batu nautika selatan Kuala Sungai Tawau, kira-kira jam 11.30 malam.

“Hasil pemeriksaan, juragan lelaki tempatan berusia 35 tahun itu didapati membawa 50 tong gas LPG berisi serta 65 pek beras anggaran 10 kilogram tanpa sebarang permit yang sah.

“Selain itu, lebih mencurigakan nama juragan terbabit turut tidak tersenarai dalam lesen operasi bot berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kedua-dua bot bersama muatan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut dan anggaran keseluruhan nilai rampasan, termasuk bot dan enjin sebanyak RM126,000.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002,” katanya.

Shahrizan berkata, kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan operasi penguatkuasaan yang diperketatkan bagi membanteras penyeludupan barang kawalan, terutama menjelang musim perayaan.

“Pihaknya akan terus memperketat kawalan dan meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan di perairan Timur Sabah (ESSZONE), sekali gus memastikan kedaulatan perairan negara terpelihara.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …