KKDW PERUNTUK RM6.15 BILION PEMBANGUNAN DI SABAH

RASMI: Ahmad Zahid ketika merasmikan majlis berkenaan.

TAWAU: Kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM6.15 bilion bagi tujuan pembangunan di Sabah melalui pelbagai agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk Sabah adalah antara yang tertinggi iaitu melebihi RM1 bilion setiap tahun.

Katanya, peningkatan peruntukan itu menunjukkan komitmen kerajaan bagi membantu kerajaan dan rakyat Sabah untuk menikmati pembangunan dan kesejahteraan di negeri ini.

“Pada tahun ini, di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) RMKe-12, daripada RM7.49 bilion peruntukan pembangunan KKDW, sebanyak RM1.11 bilion atau 14.8 peratus telah diperuntukkan bagi negeri Sabah melibatkan sebanyak 317 projek.

“Komitmen ini akan berterusan selagi wujudnya kerjasama dan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Program Sentuhan Kasih Desa @ Tawau, di sini, hari ini.

Menurutnya, KKDW juga telah memperuntukkan sejumlah RM18.78 juta bagi tujuan pembangunan di daerah Tawau untuk pelaksanaan pelbagai projek melibatkan kemudahan awam, infrastruktur perhubungan dan utiliti desa.

Katanya, antara projek utama yang akan dilaksanakan di Tawau adalah pembinaan Jalan Luar Bandar (JALB) dan Jambatan Luar Bandar (JMLB) bernilai RM5.67 juta,

“Selain itu, inisiatif Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di Sabah masih diteruskan bagi membantu golongan yang berkelayakan.

“Sebanyak 3,791 unit rumah diluluskan di bawah program ini iaitu 869 unit Bina Baharu dan 2,922 unit Baik Pulih yang meliputi kos RM132.31 juta,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pembangunan penempatan baharu dan penyusunan semula kampung sedia ada secara terancang di Sabah yang dilengkapi dengan kemudahan asas dan ameniti sosial, akan dilaksanakan menerusi tiga Projek Pemajuan Kawasan (PPK) dengan kos projek sebanyak RM166 juta.

“Bagi tahun 2025, sebanyak RM5.43 juta telah diperuntukkan bagi melancarkan pelaksanaan projek ini yang akan memberi manfaat kepada 3,500 penerima di sekitar

Sabah,” katanya.

BANTUAN: Ahmad Zahid menyampaikan bantuan KKDW kepada salah seorang wakil usahawan di daerah Tawau.

Sementara itu, mengulas mengenai program ini, katanya, ia bertepatan bagi membantu semua usahawan di daerah ini mengembangkan potensi perniagaan masing-masing.

Katanya, KKDW telah memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi tahun ini untuk pembangunan dan pemerkasaan usahawan desa melalui Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).

“Melalui SPKLB ini, usahawan berpeluang mendapatkan kemudahan sokongan bagi memperkukuh, mengembangkan perniagaan dan membangunkan produk serta perkhidmatan bagi tujuan pemasaran yang lebih luas.

“KKDW juga sentiasa melipatgandakan usaha bagi membantu usahawan desa meningkatkan kualiti produk dan prestasi agar usahawan desa dapat beralih kepada kategori Mikro dengan jualan sehingga RM300,000 setahun.

“Semua masyarakat Tawau perlu sentiasa berhubung dengan agensi KKDW yang menyediakan program dan inisiatif keusahawanan agar dapat manfaatkan peluang yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.

 

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI

 Inisiatif ini menghimpunkan tenaga Kerajaan MADANI, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan sektor swasta.  Setiap organisasi yang mengambil …
Maklumat Lanjut

BELI RUMAH MAMPU MILIK BANTU ASNAF DI BAWAH RUMAH MAWADDAH

Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merancang pembelian rumah mampu milik untuk bantuan perumahan asnaf di bawah …
Maklumat Lanjut

POLIS BURU DUA SUSPEK GUNA WANG RM100 PALSU

Polis sedang memburu dua suspek yang disyaki menggunakan dua wang palsu RM100 untuk membeli makanan di dua premis di Pekan …
Maklumat Lanjut