MUFTI PAHANG, TIMBALAN MUFTI PERAK SETUJU DENDA SALAH GUNA LOGO HALAL DINAIKKAN

KUALA LUMPUR: Jumlah denda lebih tinggi serta tindakan penguatkuasaan daripada pihak berwajib perlu dilakukan dengan lebih aktif bagi membendung isu penyalahgunaan logo halal yang semakin berleluasa.

Mufti Pahang dan Timbalan Mufti Perak senada dengan pandangan Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan yang mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama JAKIM mengkaji keperluan menaikkan denda berkaitannya.

Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohd Naim, berkata dalam mendepani isu penyalahgunaan logo halal yang semakin serius, pelbagai aspek perlu diteliti iaitu sudut undang undang, penguatkuasaan dan pendidikan.

“Undang-undangnya sememangnya sudah tersedia, namun nilai kompaun dikenakan terhadap pesalah biasanya lebih rendah berbanding jumlah denda maksimumnya hingga RM200,000.

“Mungkin sudah masanya bagi kesalahan sebegini, pihak berkuasa tidak boleh memberikan kompaun, sebaliknya terus mendakwa atau jika dibenarkan kompaun, jumlahnya juga kena lebih tinggi.

“Di samping itu, pasukan penguatkuasaan kena proaktif dalam membuat pemantauan dan menjatuhkan hukuman terhadap pihak yang tidak jujur memanipulasi penggunaan logo halal.

“Pada masa sama, semua pihak perlu merancakkan pendidikan halal supaya kesedaran dapat dipertingkatkan dan masyarakat cakna dengan isu halal,” katanya kepada BH, hari ini.

Jamali sebelum ini turut menggesa tindakan penguatkuasaan perlu terus diperkukuh supaya peniaga tidak mengambil mudah penggunaan logo halal oleh JAKIM, yang menjadi rujukan umat Islam untuk mendapatkan produk halal.

Ulasan itu dibuat susulan laporan mengenai sandwic ‘ham dan cheese’ yang dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM) yang didapati tertera logo halal, namun JAKIM kemudian mengesahkan produk itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk itu bukan pemegang SPHM.

Sementara itu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, berkata permohonan maaf tidak memadai kerana ia merosakkan imej Malaysia yang cukup dikenali sebagai peneraju kepada penandaan halal di dunia.

“Bagi saya permohonan maaf saja tidak memadai apatah lagi ia dilakukan berulang kali.

“Maka pelaku perlu didakwa dan dikenakan hukuman seberat yang mungkin seperti termaktub di dalam Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih cermat dan menghormati undang-undang dan sensitiviti umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, kepercayaan dunia terhadap logo halal Malaysia akan terjejas jika kerajaan tidak mengambil tindakan tegas.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut