KOTA KINABALU: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,800 pada 2021.
Tertuduh berumur 41 tahun itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Jason Juga.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayan Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat memperoleh suapan sebanyak RM1,800 daripada seorang individu di sebuah bank di Putatan pada 18 Jun 2021.
Wang terbabit dimasukkan ke dalam akaun tertuduh melalui akaun milik individu lain sebagai balasan agar tiada tindakan diambil terhadap aktiviti pengedaran dadah yang dijalankan di Kudat, Sabah.
Dengan itu tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta yang sama.
Akta terbabit memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.
Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 17 (a) ASPRM 2009 dan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 yang mana deposit RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan seperti jaminan pertama.
Mahkamah juga memerintahkan agar tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap dua bulan sekali dan tertuduh juga diarahkan tidak menganggu saksi selain pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada pihak mahkamah.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online