PENCARIAN: Bot orang awam ketika menjalankan pencarian mangsa di lokasi kejadian.
SEMPORNA: Dua lelaki maut selepas bot laju yang dinaiki berlanggar dengan bot pelancong dalam kejadian di kawasan perairan laut Balimbang, di sini, semalam.
Kedua-dua mangsa warga asing berusia 45 dan 50 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tenggelam di dalam laut oleh orang awam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabri Zainol berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.45 pagi dan maklumat diterima daripada orang awam.
Katanya, kejadian berlaku ketika bot pelancong sedang dalam perjalanan menuju ke Pulau Mabul bersama 12 pelancong dan berlaku perlanggaran dengan sebuah bot laju.
“Perlanggaran itu menyebabkan kerosakan teruk kepada bot laju yang dinaiki dua lelaki yang dikenal pasti bukan warganegara.
“Akibat daripada pelanggaran itu juga, pengemudi dan penumpang bot laju terhumban ke laut dan dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Sabri berkata, usaha mencari kemudian dilakukan oleh orang awam termasuk bot pelancong yang terbabit.
“Hasil daripada pencarian itu berjaya menemukan kedua-dua mangsa yang tenggelam di dalam air dalam keadaan tidak bernyawa.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Semporna untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Susulan kejadian itu juga, beliau berkata satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
Menurutnya, orang ramai yang melihat kejadian itu diminta supaya menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Mohammad Hafizudin Akram Ghafar Ismail di talian 013-7557293 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Polis juga menasihati semua pemilik bot supaya berhati-hati ketika menggunakan bot terutama di kawasan yang sibuk.
“Pemilik bot juga diminta supaya menyediakan peralatan keselamatan seperti memasang lampu pada waktu malam, selain menyediakan jaket keselamatan dan sebagainya,” katanya.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online