889 BANDUAN DIBEBASKAN SECARA PBSL TAHUN LALU

KUANTAN: Seramai 889 banduan Penjara Bentong dan Penjara Penor dibebaskan tahun lalu menerusi program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) termasuk PBSL Ihsan MADANI ‘Kepulangan Yang Dinanti’.

Mereka yang dibebaskan terdiri daripada seramai 283 banduan Penjara Bentong dan selebihnya 606 banduan daripada Penjara Penor. Seramai 39 banduan wanita Penjara Bentong turut dibebaskan.

Pengarah Jabatan Penjara Pahang, Datuk Abu Hasan Hussain, berkata pelepasan secara PBSL dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sebulan membabitkan antara empat hingga lima banduan pelbagai kesalahan dibebaskan.

Katanya, bagi pelepasan Ihsan MADANI sebanyak tujuh program pelepasan diadakan tahun lalu antaranya sempena Aidilfitri, Aidiladha, Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Kemerdekaan dan Hari Gawai. Jumlah banduan dibebaskan antara tujuh hingga 20 orang pada setiap program.

Menurutnya, program PBSL diadakan setiap tahun bagi memberi peluang banduan berkelakuan baik bebas lebih awal. Mereka juga dapat menyambut perayaan bersama keluarga.

“Ketika ini terdapat kira-kira 5,500 banduan sedang menjalani hukuman di Penjara Penor dan Penjara Bentong atas pelbagai kesalahan. Kesesakan di dua penjara di Pahang dapat dikurangkan dengan adanya PBSL dan PBSL Ihsan MADANI ‘Kepulangan Yang Dinanti’.

“Setiap bulan ramai banduan lelaki dan wanita yang terbabit dengan pelbagai kesalahan seperti penagihan dadah, mencuri, merompak dan gagal membayar denda dibebaskan,” katanya, dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, pihak penjara sentiasa bekerjasama dengan syarikat swasta dalam pelbagai sektor untuk memberi ruang pada banduan bekerja apabila dibebaskan.

Setiap kali program PBSL diadakan terdapat syarikat sedia menerima banduan untuk bekerja dengan mereka.

Abu Hasan menambah, pihaknya berharap keluarga dan masyarakat dapat menerima seadanya bekas banduan dalam memastikan mereka tidak kembali melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Tambahnya lagi, ramai banduan lelaki dan wanita yang disabitkan dengan penagihan dadah terdiri daripada banduan melakukan kesalahan berulang. Terdapat banduan yang 12 kali keluar masuk penjara.

“Terdapat kes keluarga seolah-olah tidak memberi sokongan pada bekas banduan, mereka membuang hingga tidak membenar individu terbabit pulang ke rumah.

“Saya berharap keluarga dapat bersatu semula membentuk keluarga bahagia, bagi sepenuh kepercayaan kepada golongan terbabit yang masih mempunyai peluang membina masa depan lebih baik.

“Sekiranya terus dibiar golongan tanpa haluan dan bimbingan keluarga, tidak mustahil mereka kembali melakukan aktiviti tidak sihat seterusnya ditangkap pihak berkuasa,” katanya menjangkakan lebih ramai banduan dibebaskan secara PBSL tahun ini membabitkan Penjara Penor dan Penjara Bentong.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI

 Inisiatif ini menghimpunkan tenaga Kerajaan MADANI, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan sektor swasta.  Setiap organisasi yang mengambil …
Maklumat Lanjut

BELI RUMAH MAMPU MILIK BANTU ASNAF DI BAWAH RUMAH MAWADDAH

Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merancang pembelian rumah mampu milik untuk bantuan perumahan asnaf di bawah …
Maklumat Lanjut

POLIS BURU DUA SUSPEK GUNA WANG RM100 PALSU

Polis sedang memburu dua suspek yang disyaki menggunakan dua wang palsu RM100 untuk membeli makanan di dua premis di Pekan …
Maklumat Lanjut