Kuala Linggi – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada semua calon Sjil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 seluruh Negeri Melaka.
Kata beliau, SPM adalah satu peperiksaan penting dalam menentukan hala tuju kehidupan dan kerjaya seseorang individu pada masa akan datang.
“Sekarang adalah permulaan kepada persimpangan kehidupan bagi setiap pelajar, jadi mesti bersungguh-sungguh ketika menduduki peperiksaan kerana ini adalah penentu kepada masa hadapan mereka.
“Jadi saya turun padang untuk menyantuni dan menyuntik motivasi dalam jiwa anak-anak ini. Semoga kehadiran saya memberi semangat kepada semua calon SPM.
“Jangan hampakan harapan ibu bapa dan guru-guru yang mendidik, mereka sentiasa berdoa agar anak-anak memperoleh kejayaan seterusnya menjadi insan berjaya dalam kehidupan di masa hadapan,” kata Ketua Menteri.
Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Abdul Hakim Abdul Wahid, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Karim Tumin serta Pengetua SMK Rahmat, A. Halim Mat Ali.
Secara keseluruhan seramai 13,311 calon SPM bagi Negeri Melaka mula menduduki peperiksaan itu bermula hari ini (2 Januari) hingga 6 Februari 2025.
Jumlah itu membabitkan 11,171 calon sekolah Kerajaan, bantuan Kerajaan dan sekolah agama bantuan Kerajaan, 634 pula melihatkan agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti Sekolah Henry Gurney, Tunas Bakti dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Sementara itu 26 orang adalah calon sekolah Agama negeri, 238 pelajar sekolah swasta berdaftar dengan KPM manakala 1,242 adalah calon persendirian.