KUANTAN, 01 JANUARI 2025 : Sebanyak 155,788 notis saman pelbagai kesalahan telah dikeluarkan menerusi operasi yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Disember lepas.
Menurut Pengarah JPJ Pahang, YBrs. Tuan Haji Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman, sebanyak 93,916 kenderaan barangan, awam, dan persendirian telah dikenakan tindakan daripada 439,567 kenderaan yang diperiksa dalam tempoh sama.
“Dalam tempoh tersebut, sebanyak 11,093 kes berkaitan kesalahan muatan juga telah dikenalpasti melibatkan lebih muatan di bawah
Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, lebih muatan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, dan muatan bahaya atau tidak menutup muatan di bawah kaedah-kaedah pengangkutan jalan.
“Sebanyak 1,251 kenderaan juga turut disita melibatkan kenderaan persendirian, kenderaan perkhidmatan awam, kenderaan perkhidmatan barangan, dan lain-lain kenderaan.
“44 kes sitaan kenderaan perdagangaan melibatkan lucut hak di bawah Seksyen 80 APAD 2010 bagi kesalahan membawa lebih muatan dan kemalangan jalan raya melalui Ops Mammoth, Ops Tutup, Ops Bersama SPRM serta dua kes kemalangan jalan raya melibatkan bas terbalik dalam kemalangan di KM 16.5 Jalan Genting Highlands, Bentong, dan lori tercabut tayar dalam kemalangan di KM 14, Jalan Jerantut-Maran-Kuantan berhampiran Jambatan Sungai Salan, Jerantut,” katanya.
Beliau berkata menerusi Ops PeWA (Pemandu Warga Asing) sebanyak 245 kenderaan dikenakan tindakan oleh JPJ Pahang dan 147 kenderaan motorsikal, kereta, dan van disita sepanjang tahun lepas.
Tambah beliau, menerusi Operasi Khas Motorsikal 2024 serentak seluruh negara malam tadi, sebanyak 555 notis saman JPJ (P) 22 telah dikeluarkan, 388 kenderaan dikenakan tindakan, dan 26 kenderaan disita.
Beliau menasihati semua pengendali kenderaan berat supaya sentiasa memastikan penyelenggaraan berkala dilakukan ke atas kenderaan mereka di mana keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan agar mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan diri, keluarga dan pengguna jalan raya yang lain.
“Pengguna disarankan melaporkan aduan secara terus dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ, e-aduan@jpj atau emel aduantrafik@jpj.gov.my berserta dengan butiran lengkap aduan,” katanya.
SUMBER: PAHANGMEDIA