KECEMERLANGAN KEPIMPINAN MUSA SEBAGAI MANTAN KM BANTU BANGUNKAN SABAH

JAMUAN: Musa dan isteri semasa Majlis Jamuan Negeri di SICC di sini.

UCAPAN: Hajiji menyampaikan ucapan sempena Majlis Jamuan Negeri di sini.

KOTA KINABALU: Kecemerlangan kepimpinan Yang DiPertua Negeri Sabah Tun Musa Aman sebagai Ketua Menteri sebelum ini boleh dijadikan panduan dalam mentadbir dan membangunkan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, jasa dan bakti serta legasi Musa pada masa lalu sebagai mantan Ketua Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Sabah yang mencatat pelbagai kemajuan dan pembangunan, sudah pasti membantu membangunkan lagi negeri ini.

“Sesungguhnya, pelantikan Musa sebagai TYT Sabah yang baharu adalah bertepatan dan sesuai dengan pengalaman yang luas dan khidmat bakti kepada Sabah sebelum ini.

“Saya percaya dan yakin bahawa pelantikan ini mampu mengangkat martabat Sabah ke satu tahap yang lebih cemerlang, sesuai dengan pengalaman luas Musa selama 15 tahun memimpin negeri ini dalam kerajaan negeri yang terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Jamuan Negeri bersama TYT dan Toh Puan Faridah Tussin di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini.

Dengan rekod cemerlang itu, Hajiji yakin Sabah akan lebih berupaya maju ke hadapan di samping mengekalkan perpaduan dan keharmonian kaum yang sedia terjalin sejak sekian lama.

“Sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, dengan kekayaan dan keindahan alam semula jadinya serta kekayaan nilai budaya dan adat tradisi suku kaumnya, Sabah berpotensi besar untuk dibangunkan ke tahap lebih tinggi dalam pelbagai sektor pembangunan.

“Berpaksikan kepada Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bermatlamat untuk membangunkan negeri secara holistik dan inklusif, InsyaAllah objektif ini akan mudah dicapai berkat bimbingan serta panduan yang bakal diberikan oleh TYT sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman luas, termasuk dalam dunia korporat,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengajak seluruh pemimpin dan rakyat di negeri ini untuk eratkan kerjasama, kukuhkan perpaduan, perbaharui azam dan iltizam agar cita-cita dan impian menjadikan Sabah lebih maju, aman dan sentosa akan mudah tercapai.

“Melihat kepada cabaran mendatang, dengan suasana ekonomi dunia yang masih tidak menentu bagi 2025 ini, selaku kerajaan negeri yang memerintah, selaku anggota penjawat awam yang menggerakkan jentera kerajaan dan selaku peneraju sektor swasta, ketiga-tiga entiti besar ini wajar mempertingkatkan kerjasama dan memperkukuhkan strategi ke arah mencapai kemajuan negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat.

“Bersama-samalah kita berganding bahu, berusaha dan bekerja keras ke arah cemerlang dan gemilang, mudah-mudahan Sabah yang tercinta terus maju dan berjaya, aman dan sentosa,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PENDUDUK BANTAH ‘PROJEK HARAM’ PUSAT PERLINDUNGAN ANJING LIAR

Sebuah pusat perlindungan anjing liar didakwa dibina secara haram oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di tanah rizab kerajaan di …
Maklumat Lanjut

PENIAGA RUGI RM677,000 DIPERDAYA SKIM PELABURAN TIDAK WUJUD

Seorang peniaga makanan sejuk beku di Nilai mengalami kerugian lebih RM677,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan perniagaan atas talian dipercayai …
Maklumat Lanjut

PROGRAM COMMUNITY BASED SECURITY MANAGEMENT (CBSM) BERSAMA IPD JELEBU

3 Julai 2025: Majlis Keselamatan Negara Negeri Sembilan mengambil inisiatif untuk melaksanakan program bersama Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah …
Maklumat Lanjut